
KOTA KINABALU – Pentadbiran daerah di Sabah perlu distruktur semula secara menyeluruh bagi memastikan keupayaan dan keberkesanan pengurusan di peringkat akar umbi dapat ditingkatkan.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Seri Jahid Jahim berkata, penstrukturan itu meliputi aspek penting seperti isu perjawatan serta persempadanan daerah agar pentadbiran di peringkat daerah benar-benar bersedia menghadapi cabaran semasa yang semakin kompleks.
“Penstrukturan daerah perlu dilihat semula termasuk aspek pengurusan pejabat daerah.
“Ini penting bagi memastikan pentadbiran daerah mempunyai kapasiti melaksanakan tanggungjawab dengan lebih cekap,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penutupan dan Makan Malam Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah Negeri Sabah Kali ke-28 Tahun 2025, di sini, pada Jumaat.
Jahid turut menggariskan beberapa resolusi penting yang telah disepakati sepanjang dua hari persidangan tersebut berlangsung dan telah dibukukan sebagai rujukan rasmi.
Tambahnya, antara resolusi utama yang diketengahkan termasuk penekanan terhadap pendekatan baharu dalam pelaksanaan Program Basmi Miskin Tegar (BMT) agar benar-benar menyentuh keperluan masyarakat luar bandar.
“Kementerian Pembangunan Luar Bandar(KPLB) akan memperhalusi perincian program ini agar melibatkan mereka yang paling dekat dengan masyarakat seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Ketua Kampung,” ujarnya.
Jahid juga menyatakan persetujuan terhadap cadangan pewujudan sebuah jawatankuasa khas dalam BMT di peringkat daerah bagi memastikan isu kemiskinan luar bandar ditangani secara lebih menyeluruh dan tersusun.
Beliau mengingatkan semua pegawai daerah agar sentiasa berhati-hati dalam pengurusan kewangan khususnya mematuhi prosedur-peraturan yang ditetapkan di bawah Arahan Perbendaharaan 59 (AP59), agar tidak berdepan tindakan tatatertib atau dikenakan surcaj.
“Perancangan awal amat penting dalam pelaksanaan projek-projek pembangunan.
“Kita tidak mahu pegawai daerah dikenakan tindakan kerana ketidakpatuhan kepada prosedur kewangan,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau meminta agar semua resolusi persidangan kali ini dilaksanakan dengan teliti oleh KPLB dan tidak hanya kekal sebagai dokumen semata-mata.
“Pemantauan rapi perlu dibuat agar hasil persidangan diterjemahkan dalam bentuk tindakan dan pencapaian nyata di lapangan,” ujarnya lagi.