
NIBONG TEBAL – Pengundi muda diingat supaya tidak terpedaya dengan helah pembangkang yang menggunakan dakyah hasutan untuk tidak menyokong calon Kerajaan Perpaduan, Dr Joohari Ariffin.
Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Nibong Tebal, Muhamad Afif Aminudin berkata, Kerajaan Perpaduan adalah kerajaan yang stabil, dan peluang untuk memilih calon yang tepat perlu digunakan sebaiknya.
“Peluang sebegini tidak mungkin akan datang selalu, sebab itulah anak-anak muda Sungai Bakap perlu menyokong calon daripada Kerajaan Perpaduan, Cikgu Joohari,” katanya.
Beliau yang ditemui semasa Program Ziarah Kasih Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sungai Kechil dan PDM Kampung Besar baru-baru ini berkata, segala tohmahan dibuat oleh jentera kempen Perikatan Nasional (PN) perlu diselidik kesahihannya terlebih dahulu.
“Hal ini kerana terdapat satu ceramah di PDM Seruling Emas yang disampaikan Boss Jebat yang mendakwa kononnya Datuk Seri Reezal Merican mengajar orang UMNO untuk tidak keluar mengundi di sekitar PDM Sungai Duri, sedangkan apa yang dikatakannya itu tidak betul,” tegasnya lagi.