PELAKSANAAN kenderaan autonomi (AV) oleh Pos Malaysia Bhd dilaksanakan bagi meningkatkan kecekapan operasi tanpa menjejaskan kedudukan pekerja sedia ada, sekali gus menepis kebimbangan bahawa teknologi itu akan menyebabkan pembuangan tenaga kerja.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, teknologi berkenaan diperkenalkan melalui projek Proof of Concept (PoC) yang dimulakan hari ini di fasiliti Pusat Mel Nasional menerusi kerjasama strategik antara Pos Malaysia dan Autonomous Logistic Solutions Sdn Bhd (ALS).
Beliau berkata, inisiatif itu merupakan penggunaan pertama kenderaan autonomi dalam operasi pengendalian pos dan mel di Malaysia.
“Penggunaan teknologi baharu seperti kenderaan autonomi ini tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menyingkirkan tenaga kerja sedia ada. Sebaliknya, ia perlu diselaraskan dengan usaha mengekalkan pekerja melalui latihan semula dan peningkatan kemahiran agar mereka dapat melaksanakan tugas yang lebih kompleks dalam ekosistem logistik moden.
“Pada peringkat awal ini, AV Pos Malaysia hanya akan digunakan dalam kawasan tertutup di Pusat Mel Nasional bagi tujuan pengendalian dalaman. Fasa seterusnya berkemungkinan melibatkan penghantaran dari pusat utama ke pejabat-pejabat pos besar, namun setakat ini belum lagi untuk penghantaran terus ke rumah pengguna.
“Penggunaan ini dilihat mampu membantu mengurangkan kos operasi dan mengoptimumkan sumber manusia, dengan pekerja yang terlibat dalam laluan tertentu boleh dialihkan kepada tugas lain dalam organisasi,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran kenderaan autonomi (AV) Pos Malaysia, di sini, hari ini.
Tambah Fahmi, pelaksanaan AV bukan usaha satu pihak semata-mata, sebaliknya membabitkan kerjasama rentas kementerian dan agensi termasuk Kementerian Pengangkutan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Digital Nasional Bhd (DNB) serta rakan strategik lain, khususnya dari segi penyediaan prasarana digital dan kelulusan peraturan.
Beliau berkata, PoC akan dilaksanakan dalam tempoh antara tiga hingga enam bulan dan masih belum membabitkan penggunaan di jalan raya awam kerana memerlukan kelulusan daripada Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Data yang dikumpul sepanjang pelaksanaan PoC akan dinilai sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat.
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi berkata, kerajaan menyalurkan dana RM50 juta bagi membantu Pos Malaysia melaksanakan tanggungjawab Universal Service Obligation (USO), iaitu kewajipan menghantar surat ke semua alamat di seluruh negara.
Beliau berkata, Pos Malaysia merupakan satu-satunya penyedia perkhidmatan pos yang diwajibkan melaksanakan tanggungjawab berkenaan.
Fahmi turut menyentuh peranan Kementerian Komunikasi dalam memastikan kesiapsiagaan infrastruktur digital negara, khususnya liputan 5G, bagi menyokong penggunaan teknologi autonomi pada masa hadapan.
Menurutnya, kesalinghubungan antara peranti dan rangkaian 5G yang stabil dan menyeluruh merupakan asas penting bagi membolehkan AV digunakan secara selamat dan berkesan dalam persekitaran sebenar.
Inisiatif AV itu juga selari dengan perancangan jangka panjang Pos Malaysia yang menyasarkan peralihan kepada armada kenderaan neutral karbon menjelang 2030, termasuk penggunaan penuh kenderaan elektrik.





