KEPALA BATAS – Isu mengenai kekurangan fasiliti perubatan di Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang sering kali menimbulkan kesukaran kepada penduduk di sekitar Kepala Batas untuk mendapatkan rawatan kesihatan dengan pantas dan selamat.
Justeru, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican telah menggesa supaya proses pembesaran Hospital Kepala Batas dapat dipercepatkan dan tidak lagi ditangguh ke dalam senarai projek di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) nanti.
Dalam pada itu, tinjauan di sekitar daerah Kepala Batas mendapati, rata-rata penduduk di sana menyambut baik inisiatif yang telah diusahakan oleh Adun Bertam itu dan berharap agar proses pembesaran dan menambah baik kemudahan perubatan di sana dapat disegerakan demi keselesaan semua penduduk.
Seorang penduduk, Sahar, 28, berkata, rakyat Kepala Batas sudah lama bersusah payah untuk mendapatkan rawatan kesihatan dengan baik apabila kebanyakan kemudahan di sana masih tidak cukup untuk menampung jumlah pesakit yang ada.

“Jadi Kepala Batas ini adalah tempat berdaya-huni, yang penduduknya begitu ramai dan tidak mustahil hospital ini akan menampung lebih ramai pesakit.
“Ada yang terlayan, ada yang tidak terlayan, ada yang kena tunggu lama, wad tidak cukup, katil tidak cukup,” katanya ketika ditemui.
Jelasnya, inisiatif untuk mempercepatkan proses pembesaran hospital tersebut adalah tepat dan sesuai buat masa ini malah berharap agar cadangan tersebut dapat dicapai dan terlaksana.
“Jadi apa yang dicadangkan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican baru-baru ini untuk pembesaran hospital kepala batas ini semoga dapat dicapai,” katanya.
Selain itu, menurut seorang penduduk yang lain, Irdina, 33, berkata, keadaan di Hospital Kepala Batas agak lemah dan ramai penduduk terpaksa ‘berdamai’ dengan kekurangan tersebut.

“Ramai yang terasa dan saya sendiri pun pernah merasa kekurangan apabila mendapatkan rawatan di sana, saya harap apa yang dibawa oleh Datuk Seri tercapai dan dapat disegerakan untuk keselesaan penduduk Kepala Batas dan Seberang Perai utara,” katanya.
Turut sama bersetuju dengan kedaifan di hospital tersebut adalah Akmal, 21, yang pernah menerima rawatan dan terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan katil rawatan.

“Saya setuju dengan inisiatif Datuk Seri Reezal untuk membesarkan lagi Hospital Kepala Batas. Ini kerana saya pernah rasai sebelum ini, nak tunggu (dapat) katil, lama, selepas itu bila mana tunggu katil lama, rawatan pun jadi lama,” ujarnya.
Usaha untuk membesarkan dan menambah baik bangunan hospital di Pulau Pinang itu turut disokong oleh Azam, 19, yang bersetuju dengan tindakan yang dibuat demi memudahkan penduduk di sekitar kawasan tersebut.

“Kami sebagai warga Kepala Batas ini bersetujulah dengan tindakan yang depa (kerajaan negeri) nak buat itu, sebabnya dia banyak memudahkan penduduk-penduduk sekitar daerah ini dan inisiatif-inisiatif yang dicadangkan oleh Adun Bertam itu bagi saya satu benda yang sangat baik,” katanya.
Sebelum ini, dalam perbahasan belanjawan Pulau Pinang 2025 semalam, Reezal Merican menyentuh mengenai isu ketidakcukupan katil Hospital Kepala Batas di mana peningkatan kadar pertumbuhan tahunan penduduk sebanyak 1.3 peratus telah menyebabkan Bed Population Ratio (BPR) Hospital Kepala Batas turut meningkat bagi tempoh masa 20 tahun.
“BPR bagi penduduk SPU adalah 0.39 katil bagi 1,000 penduduk, Hospital Kepala Batas merupakan Hospital Berpakar Minor dengan kapasiti katil 134 katil.
“Peningkatan Bed Occupancy Rate (BOR) sebanyak 89.63 peratus turut menyebabkan peningkatan pesakit ‘stranded’ (20 pesakit sehari) di Jabatan Kecemasan sejak Hospital Kepala Batas menjadi hospital berpakar minor pada tahun 2015,” katanya.






