
SANDAKAN – Penduduk Kampung (Kg) PPH Karamunting kini menikmati kemudahan lebih selesa selepas laluan utama di kampung itu yang sebelum ini berlumpur dan becak ditimbus serta disimen sepenuhnya.
Kerja baik pulih berkenaan dilaksanakan hasil inisiatif Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin, susulan aduan yang diterima daripada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Jeffrydin Usad, mengenai keadaan jalan yang menyukarkan pergerakan penduduk terutama ketika musim hujan.
George berkata, keselamatan penduduk sentiasa menjadi keutamaan, memandangkan laluan berkenaan digunakan setiap hari oleh pelajar sekolah, pekerja dan warga emas.
“Apabila jalan berlumpur, risiko terjatuh dan kemalangan meningkat.
“Oleh itu, kami segera mengambil tindakan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, selepas menerima maklum balas daripada JKKK, pihaknya menyalurkan peruntukan untuk pembelian batu kerikil dan bahan bagi kerja-kerja penyimenan jalan tersebut.
“Kerja menimbus dan menyimen dijalankan secara gotong-royong dengan kerjasama Ketua Kampung, JKKK dan penduduk setempat.
“Ini mencerminkan semangat kebersamaan yang wajar diteruskan,” ujarnya.
George turut turun padang meninjau hasil kerja serta menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam gotong-royong berkenaan.
Menurutnya, usaha menaik taraf laluan utama itu bukan sahaja meningkatkan keselamatan malah memberikan keselesaan kepada penduduk untuk menjalankan aktiviti harian.
“Apabila masyarakat dan pemimpin bekerjasama, hasilnya dapat dinikmati bersama. Inilah hasrat kami mewujudkan Karamunting yang lebih selesa, selamat dan bersatu,” kata beliau.