
KUANTAN – Kerajaan Pahang memperkenalkan baucar pembelian barangan makanan dan keperluan di pasar raya kepada golongan memerlukan di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, baucar bernilai RM50 itu akan diagihkan kepada pemimpin setempat sebelum diserahkan kepada penerima yang dikenal pasti.
Jelasnya, baucar itu boleh digunakan di cawangan pasar raya TMG dan Pasar Raya Darul Makmur (PDM) yang beroperasi di seluruh Pahang.
“Kita melihat baucar ini adalah satu perkara yang boleh membantu rakyat. Tiada peruntukan khusus ditetapkan buat masa ini kerana ia masih dalam tempoh percubaan dan kita akan tengok dahulu sambutan rakyat terhadap inisiatif ini,” katanya selepas merasmikan Moh! Karnival Makmur 2025 di Dewan Semai Bakti FELDA Sebertak dekat Bera, semalam.
Mengulas lanjut mengenai baucar itu Wan Rosdy berkata, baucar berkenaan hanya boleh digunakan untuk membeli barang keperluan dan tidak boleh ditukar kepada wang tunai.
Dalam perkembangan lain, Wan Rosdy memaklumkan kerajaan Pahang meneruskan program pemberian baucar petrol buat perantau anak Pahang sempena Aidilfitri tahun ini.
Katanya, sebanyak 5,000 baucar disediakan dan boleh dimohon oleh anak Pahang yang bekerja atau belajar di luar Pahang.