
TAWAU – Operasi Bersepadu yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di kawasan Batu 12, Jalan Apas, awal pagi Ahad berjaya menahan empat lelaki dan mengeluarkan sebanyak 24 keping notis saman trafik.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kesemua lelaki berumur 20 hingga 24 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah semasa pemeriksaan dijalankan.
“Manakala 24 saman yang dikeluarkan atas pelbagai kesaahan iaitu tiada lesen memandu atau lesen tamat tempoh dan tidak memasang cermin sisi dan aksesori keselamatan.
“Selain itu, nombor plat tidak ikut spesifikasi dan ubah suai eksoz bising serta tidak memakai tali pinggang keledar,” katanya dalam kenyataan media, pada Ahad.

Menurut Jasmin, operasi ini dijalankan bagi memastikan ketenteraman awam sentiasa terpelihara serta membanteras aktiviti lumba haram yang sering menimbulkan gangguan kepada penduduk sekitar kawasan berkenaan.
“Kita turut memberi tumpuan kepada aspek pencegahan jenayah narkotik dan pengawasan terhadap kehadiran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) berikutan laluan tersebut merupakan antara akses utama dari daerah persempadanan menuju ke Tawau.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menjejaskan keselamatan awam,” tegasnya.
Operasi selama tiga jam bermula 12 tengah malam itu melibatkan 27 pegawai dan anggota daripada Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) dan Balai Polis Bandar Sri Indah.