PUTRAJAYA – Bank Negara Malaysia (BNM) terus mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus, mencerminkan pendirian dasar monetari yang kekal menyokong pertumbuhan ekonomi dalam persekitaran harga yang stabil.
Bank pusat menerusi kenyataan berkata, keputusan itu dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC), yang menilai bahawa tahap OPR semasa, yang kekal sejak Julai 2025, adalah wajar bagi memastikan kestabilan makroekonomi sambil menyokong momentum pertumbuhan domestik.
Menurut BNM, pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2025 dijangka berada sekitar paras atas julat unjuran dengan momentum pertumbuhan itu diramal berterusan pada 2026.
Keadaan itu, katanya, disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan, termasuk guna tenaga, pertumbuhan upah serta langkah-langkah dasar berkaitan pendapatan yang terus menyokong perbelanjaan isi rumah.
“Aktiviti pelaburan akan didorong oleh kemajuan projek berbilang tahun yang dilaksanakan dalam sektor swasta dan awam, pelaksanaan projek awam baharu yang berskala kecil, lebih banyak pelaksanaan berterusan pelaburan yang telah diluluskan, serta pelan induk nasional yang terus dilaksanakan.
“Sektor luaran akan mendapat manfaat daripada eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang terus kukuh serta perbelanjaan pelancong yang lebih tinggi.
“Prospek pertumbuhan ini kekal tertakluk pada ketidakpastian, khususnya berhubung dengan perkembangan global. Risiko prospek pertumbuhan menjadi perlahan kekal berpunca daripada perdagangan global yang lebihperlahan dan pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan,” katanya.
Sementara itu, BNM berkata potensi pertumbuhan menjadi pesat boleh berpunca daripada prospek pertumbuhan global yang lebih baik, permintaan terhadap barangan E&E yang lebih kukuh dan aktiviti pelancongan yang lebih giat.
Menurutnya, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing berpurata sebanyak 1.4 peratus dan 2.0 peratus pada 2025.
“Bagi 2026, inflasi keseluruhan dijangka kekal sederhana berikutan keadaan kos global yang terus reda. Harga komoditi global dijangka kekal sederhana, lantas menyumbang kepada keadaan kos dalam negeri yang terkawal.
“Sementara itu, inflasi teras pada 2026 dijangka kekal stabil dan hampir dengan purata jangka panjangnya, mencerminkan pengembangan berterusan dalam kegiatan ekonomi serta ketiadaan tekanan permintaan yang berlebihan,” katanya.
Di peringkat global, BNM memaklumkan, pertumbuhan pada 2025 lebih tinggi daripada jangkaan, terutamanya mencerminkan tarif yang lebih rendah daripada jangkaan, perbelanjaan yang lebih tinggi untuk teknologi yang didorong oleh kecerdasan buatan (AI) dan sokongan fiskal yang lebih kukuh.
Bagi 2026, katanya, meskipun kesan tarif boleh mempengaruhi pertumbuhan global, prospek pertumbuhan kekal berdaya tahan, disokong oleh permintaan dalam negeri yang berterusan, inflasi yang semakin berkurang, pelaburan teknologi yang mantap serta sokongan dasar fiskal dan monetari
“Risiko pertumbuhan menjadi perlahan terus wujud disebabkan oleh kemungkinan tarif yang lebih tinggi, ketegangan geopolitik yang semakin meruncing dan volatiliti yang ketara dalam pasaran kewangan global. Selain itu, masih terdapat kebimbangan yang berterusan terhadap penilaian yang tinggi dalam pasaran kewangan.
“Pertumbuhan berpotensi menjadi pesat termasuk perbelanjaan untuk teknologi yang lebih kukuh, kesan tarif yang lebih sederhana terhadap kegiatan ekonomi serta dasar yang menyokong pertumbuhan di negara-negara maju,” katanya.
Pada tahap OPR semasa, MPC berpendapat bahawa pendirian dasar monetari adalah wajar dan memberikan sokongan terhadap ekonomi dalam keadaan harga yang stabil.
MPC akan terus memantau perkembangan semasa dan menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek pertumbuhan dan inflasi dalam negeri.








