
LAWAS – Seramai 948 peserta daripada golongan B40 di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Sari berjaya memperoleh lesen memandu motosikal kelas B2 menerusi Program Bantuan Lesen Memandu MyLesenanjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, inisiatif ini bukan sahaja membuka peluang kepada belia B40 memiliki lesen yang sah, tetapi juga dapat melahirkan penunggang motosikal yang lebih berdisiplin dan bertanggungjawab.
“Program ini bantu golongan kurang berkemampuan memandu dengan sah dan selamat. Ia juga dapat meningkatkan keselamatan di jalan raya,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian program berkenaan di stadium Lawas hari ini.
Dalam masa sama, beliau menekankan bahawa usaha kerajaan untuk menaik taraf sistem perhubungan seperti projek Lebuh Raya Pan Borneo dan pembinaan jambatan besar bukan sahaja untuk keselesaan rakyat, malah bagi menjamin keselamatan perjalanan.
Awang Tengah turut mengingatkan bahawa sikap cuai dan tidak mematuhi undang-undang boleh mengakibatkan kemalangan maut yang merugikan keluarga dan negara.
“Nyawa bukan milik kita seorang. Ia milik orang yang kita sayang. Satu saat kecuaian boleh ragut nyawa,” tegasnya.
Menurut kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) pada tahun 2024, negara mencatatkan kerugian sebanyak RM19.7 bilion setahun akibat kemalangan jalan raya yang melibatkan kehilangan nyawa, kecederaan dan kerosakan harta benda.
Justeru, beliau menyeru semua penerima lesen supaya menjadi contoh kepada masyarakat dengan mengamalkan pemanduan berhemah serta beretika.
Beliau juga menggesa pihak penguat kuasa seperti PDRM, JPJ dan LPKP untuk terus memperkukuhkan penguatkuasaan undang-undang bagi mencapai sasaran kerajaan mengurangkan 50 peratus kadar kematian jalan raya menjelang 2030.
“Gunakanlah lesen ini dengan sebaiknya. Jadilah penunggang yang bertanggungjawab, bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi untuk keselamatan orang lain juga,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bahawa kemudahan lesen ini juga membolehkan penerima menyertai sektor ekonomi gig seperti perkhidmatan penghantaran makanan, sekali gus menambah pendapatan.