KANGAR — Majlis Perumahan Universiti Awam (MAPUM) menyambut baik komitmen Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam menangani isu penginapan pelajar di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), sebagaimana digariskan dalam Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035.
Pengerusi MAPUM yang juga Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Perlis, Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah berkata, inisiatif itu mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap realiti semasa universiti awam yang berdepan kekangan kapasiti kolej kediaman.
Menurut beliau, kajian dalaman MAPUM menunjukkan hampir 40 peratus pelajar universiti awam kini menginap di luar kampus berikutan kapasiti sedia ada yang tidak mencukupi.
“Pengumuman kerajaan untuk menyediakan 5,000 penginapan tambahan serta memastikan yuran penginapan tidak membebankan pelajar merupakan langkah tepat dan signifikan.
“Pada peringkat awal pelaksanaan lima universiti awam dikenal pasti bagi pembangunan kolej kediaman baharu,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Tambahnya, universiti berkenaan ialah Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah.
Mohd Mustafa berkata, MAPUM dimaklumkan bahawa KPT bersama Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) kini berada pada peringkat akhir memuktamadkan pelaksanaan projek kolej kediaman baharu secara Kerjasama Awam Swasta (PPP).
Menurutnya, projek berkenaan akan dilaksanakan melalui kaedah Request for Proposal (RFP) terbuka bagi lima universiti awam terlibat.
“Pelaksanaan secara PPP dijangka mempercepatkan penyediaan kemudahan penginapan pelajar yang mampan, berkualiti dan berdaya tahan.
“Langkah itu juga mampu mengurangkan kebergantungan pelajar kepada penginapan di luar kampus yang sering terdedah kepada isu kos dan kebajikan,” jelasnya.
Mohd Mustafa memaklumkan pembangunan kolej kediaman akan dilaksanakan secara berperingkat dan berterusan selaras Dasar Kemudahan Kolej Kediaman di IPTA.
Dasar itu katanya, menyasarkan penyediaan kemudahan kolej kediaman sekurang-kurangnya 70 peratus daripada jumlah enrolmen pelajar prasiswazah sepenuh masa secara fizikal menjelang 2035 di semua universiti awam.
Beliau berkata, MAPUM bersedia memainkan peranan sebagai rakan strategik kepada KPT dan UKAS dalam menyokong perancangan, pelaksanaan serta pemantauan projek berkenaan.
Menurutnya, inisiatif di bawah Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 dijangka memberi impak positif kepada kebajikan pelajar dan menyokong aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan, keadilan dan kemampanan pembangunan modal insan.






