
PADANG BESAR – Rata-rata penduduk meluahkan perasaan kecewa selepas aduan barkait masalah sistem saliran ke pejabat wakil rakyat kawasan itu tidak diambil tindakan sewajarnya.
Seorang penduduk Kampung Padang Pauh Selatan, Zulkifli Ishak, 35, berkata, pada tahun ini sahaja, sebanyak lima kali kawasan rumahnya dinaiki air dengan yang terbaharu pada pertengahan September lalu.
“Puncanya adalah sistem perparitan usang dan tidak diselenggara. Sistem itu masih guna gelung air (culvert) yang lama yang tidak mampu menampung aliran air yang banyak.
“Kami dah buat aduan beberapa kali kepada pejabat wakil rakyat kawasan ini namun masih tidak ada tindakan yang sepatutnya,” katanya ketika ditemui di kediamannya.

Beberapa kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri Santan dan Beseri di Parlimen Padang Besar antara 30 lokasi yang ditenggelami banjir kilat susulan hujan lebat luar biasa di sini semalam.
Sementara itu, seorang lagi penduduk di Kampung Paya Gembol yang hanya mahu dikenali sebagai Che Ani, 53, berkata, banjir kilat menenggelamkan kemudahan awam seperti Balai Polis Beseri dan menyukarkan rakyat untuk membuat aduan sekiranya berlaku kecemasan.
“Ini bukan kali pertama. Sudah dua kali balai polis tenggelam dalam tempoh sebulan. Kawasan ini turut menempatkan Klinik Kesihatan Beseri dan juga sebuah pemancar milik Jabatan Penyiaran Malaysia di Padang Pauh.
“Kami harapkan kerajaan negeri perlu berganding bahu dengan agensi kerajaan di peringkat Pusat menyelesaikan masalah saliran bagi mengelakkan kejadian lebih teruk pada masa hadapan,” katanya.



