KUALA LUMPUR – Malaysia ketika ini berada pada landasan tepat dalam mengurangkan kadar defisit secara konsisten.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, paras defisit fiskal telah menunjukkan trend penurunan daripada kadar 6.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2021 kepada 5.5 peratus pada 2022 dan lima peratus pada 2023.
“Defisit 2024 pula diunjur terus berkurang kepada 4.3 peratus dan disasarkan kepada 3.8 peratus pada 2025.
“Nampaknya, kita berada di landasan yang betul kerana tahun depan kita unjur turun di bawah 3.8 peratus. Insya-Allah, kita akan dapat mengawalnya lebih elok,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan daripada Senator Hussin Ismail yang ingin mengetahui berkenaan mengenai jumlah hutang negara.
Mengulas lanjut, Amir berkata, kerajaan berusaha mengurangkan defisit mengikut Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (Akta 850) iaitu sasaran defisit fiskal tiga peratus antara 2026 dan 2028.
“Selaras pengurangan defisit, hutang baharu kerajaan berkurang daripada RM99.4 bilion pada 2022 kepada RM92.6 bilion pada 2023.
“Seterusnya, kepada anggaran RM84.7 bilion pada 2024 dan disasarkan sekitar RM80 bilion pada 2025,” katanya.







