
KUALA LUMPUR – Aktivis mahasiswa mengadakan himpunan aman bagi menyerahkan memorandum kepada kerajaan untuk menuntut keadilan buat pelajar tingkatan satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Serahan memorandum disertai kira-kira 30 peserta membabitkan sembilan gerakan mahasiswa daripada enam universiti serta badan bukan kerajaan (NGO) bermula dengan perarakan dari Taman Tugu, ke pintu pagar utama Parlimen.
Memorandum diserahkan kepada Ahli Parlimen kerajaan antaranya Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari.
Selain itu, wakil rakyat pembangkang yang hadir antaranya Ahli Parlimen Kota Bahru, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Tuan Ibrahim Tuan Man.
Kordinator Sekretariat Perhimpunan, Mohammad Norhamdin Nordin berkata, terdapat empat tuntutan kepada kerajaan terutama Kementerian Pendidikan (KPM) dalam menangani isu buli.
“Kita juga menuntut tujuh perkara kepada Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) antaranya berkaitan siasatan kes kematian Zara Qairina.
“Memorandum ini adalah suara solidariti rakyat agar keadilan diberikan kepada Zara Qairina dan semua mangsa buli di Malaysia,” katanya ketika ditemui media di hadapan pintu pagar utama Parlimen, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mohammad Norhamdin berkata, tujuan perhimpunan tersebut diadakan adalah sebagai respons kepada kebangkitan rakyat di Sabah.
“Ini bukan semata-mata soal seorang yang telah meninggal dunia, tapi bagaimana orang tersebut boleh ‘pergi’ dalam institusi pendidikan.
“Jadi kerisauan kita sekiranya isu ini tidak diambil perhatian oleh kerajaan maka institusi pendidikan yang ada itu tidak selamat untuk anak-anak. Sebab itu kita menuntut reformasi pendidikan, supaya ia lebih bersifat manusiawi,” katanya.
Allahyarhamah Zara Qairina, 13, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah dilaporkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas sehari menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah.
Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama kira-kira pukul 3 pagi dan mengalami kecederaan parah sebelum dibawa ke hospital oleh pihak sekolah









