
SELAIN bidang perbankan Islam, mahasiswa pengajian Islam Universiti Al-Azhar Mesir disaran untuk merebut peluang kerjaya dalam industri halal selepas tamat pengajian.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, graduan universiti itu wajar tampil lebih berani menceburi bidang ekonomi yang lebih meluas dan terlibat secara langsung di dalamnya.
“Ada nak jadi guru agama atau pensyarah, saya tiada masalah. Kesedaran atau kefahaman agama jauh lebih besar hari ini daripada 20 tahun dahulu. Saya akui tetapi cabarannya jauh lebih luas.
“Ini mungkin bidang yang belum dipelopori atau dikembangkan pelajar Timur Tengah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi dialog bersama 100 mahasiswa Dewan Malaysia Abbassiyah di Kaherah, pada Khamis.

Bagaimanapun, Amirudin berpendapat tiada masalah jika mahasiswa memilih kerjaya sebagai agama, pensyarah atau pegawai pusat berkuasa selepas tamat pengajian kelak.
Sementara itu, dalam program berasingan, Exco Agama Islam Selangor Dr Fahmi Ngah berkata, Selangor berhasrat mewujudkan kelab kerjaya kepada mahasiswa dan membekalkan latihan kemahiran tertentu sebelum mereka ke dunia pekerjaan.
Jelasnya, kelab itu akan membimbing pelajar dari segi kemahiran secara dalam talian daripada tenaga pengajar di Malaysia.
“Ia lebih kepada persediaan untuk ke alam pekerjaan. Mungkin ada agensi atau syarikat Kerajaan Negeri tawar terus kerja, tidak boleh tunggu lama. Mana hendak kerja, boleh kerja terus.
“Kemahiran itu akan disesuaikan dengan keperluan jawatan, dengan latihan meliputi penggunaan teknologi maklumat, penguasaan bahasa atau elemen pengurusan asas,” katanya.