
TAWAU – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menzahirkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada seluruh pasukan pembedahan Hospital Tawau yang melakar sejarah menerusi kejayaan pelaksanaan prosedur pembedahan otak dalam keadaan sedar atau awake craniotomy yang pertama di Pantai Timur Sabah.
Beliau berkata, kejayaan ini adalah bukti keberkesanan Model Hospital Kluster melalui kolaborasi strategik antara Hospital Tawau, Hospital Queen Elizabeth dan Hospital Queen Elizabeth II yang membawa kepakaran tahap tertiari terus ke hospital pakar wilayah.
“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada Dr. Tan Shze Ee, Dr. Andy Yap Teck Cheng, Dr. Ting Mei Sze selaku pakar neuro-bius, serta seluruh pasukan pembedahan yang merangkumi jururawat bius, juruteknik, dan kakitangan sokongan klinikal atas dedikasi luar biasa ini, ” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.
Menurut Dr Dzulkefly, melalui kaedah pembedahan ini, pesakit dikekalkan dalam keadaan sedar bagi membolehkan pakar bedah memantau fungsi pertuturan dan motor secara masa nyata.
Katanya, pendekatan ini memastikan pembuangan tumor dilakukan secara maksimum sambil melindungi kualiti hidup pesakit agar tidak terjejas selepas prosedur.
Jelasnya, inisiatif itu juga merupakan usaha proaktif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menghapuskan cabaran jarak atau tyranny of distance yang selama ini membebani rakyat.
“Penduduk di Pantai Timur Sabah kini tidak lagi perlu menempuh perjalanan selama 10 jam ke Kota Kinabalu untuk mendapatkan rawatan neurosurgeri yang kompleks.
“Inisiatif ini secara langsung dapat mengurangkan beban kewangan dan emosi yang terpaksa ditanggung oleh ahli keluarga pesakit.
“Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh akses perkhidmatan kesihatan yang saksama dan berkualiti tinggi demi kesejahteraan seluruh keluarga Malaysia,” ujarnya.





