
TAWAU – Masalah kerosakan jalan yang dihadapi penduduk termasuk pekebun kecil kelapa sawit di Jalan Tiku Tawau mendapat perhatian Timbalan Menteri Kementerian Perladangan Komuniti (KPK) yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Datuk Chan Foong Hin.
Ahli Jawatankuasa DAP Sabah, Yap Wui Lip berkata, jalan sepanjang 13 kilometer itu merupakan laluan utama bagi pekebun kecil dan sering digunakan oleh kenderaan berat untuk mengangkut hasil sawit ke pusat penerimaan.
“Kita terima aduan dari pekebun kecil di situ bahawa jalan itu teruk, berlumpur ketika hujan dan berlubang, jadi saya bawa perkara ini untuk perhatian Datuk Chan.
“Atas persetujuan, beliau luluskan peruntukan untuk menyelenggara jalan gravel itu bagi memudahkan pergerakan pekebun menghantar buah sawit mereka,” katanya ketika dihubungi wartawan The Malaysia Press, pada Selasa.
Yap berkata, hal ini merupakan berita baik yang jelas memanfaatkan masyarakat dan pekebun kecil yang menggunakan laluan itu sebaik diselenggara selepas projek dimulakan dalam masa terdekat.
Menurut Yap, beliau sebelum ini bersama wakil dari pejabat Parlimen bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turun padang ke Jalan Tiku untuk meninjau keadaan jalan tersebut.
”Jalan tersebut didapati agak teruk dan menyukarkan kenderaan berat untuk digunakan terutamanya semasa musim hujan.
“Jalan ladang yang sempurna penting bagi mengekalkan kualiti buah sawit yang diangkut dari ladang ke tempat pusat penerimaan buah sawit,” ujarnya.