
KOTA BELUD – Kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memastikan bahawa komuniti pulau akan terus menikmati subsidi petrol RON95 di bawah program BUDI95 tanpa terikat dengan had 300 liter sebulan seperti yang dikenakan kepada pengguna di tanah besar.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Fuziah Salleh berkata, agihan subsidi di kawasan pulau dilaksanakan berdasarkan kuota komuniti, bukan individu, bagi memudahkan akses kepada bahan api bersubsidi pada harga RM1.99 seliter.
“Langkah ini dibuat bagi memastikan komuniti di kawasan pedalaman dan kepulauan tidak tercicir daripada bantuan bersasar kerajaan, meskipun ia berdepan dengan cabaran logistik dan kekangan infrastruktur seperti ketiadaan terminal semakan MyKad di lokasi luar bandar.
“Mereka tak perlu semak kad pengenalan atau had liter. Harga tetap RM1.99.
“Kuota diberi kepada komuniti, bukan seorang demi seorang,” katanya kepada media ketika pelaksanaan Program Turun Padang Ke Point Of Sales (POS) dan Program Pengedaran Barang Perlu (PDPP) Zon Mantanani di Pulau Mantanani, di sini, pada Isnin.

Tambahnya, terdapat lebih 607 POS di seluruh Sabah, termasuk di kawasan pedalaman dan pulau, yang memainkan peranan penting dalam memastikan bekalan barang dan bahan api bersubsidi terus sampai kepada penduduk luar bandar secara konsisten.
Jelasnya, di bawah PDPP, kerajaan menetapkan tujuh item keperluan asas termasuk gula, tepung, minyak masak dan beras untuk dibekalkan di semua POS, dengan jaminan harga kekal stabil dan tidak boleh dinaikkan tanpa kelulusan kerajaan.
“KPDN memberikan jaminan bahawa bekalan barang keperluan di setiap POS sentiasa mencukupi, dan tiada sebarang kenaikan harga akan dibenarkan tanpa kelulusan.
“Justeru, program seperti PDPP sangat penting bagi meringankan beban kos sara hidup masyarakat pulau,” katanya.
Menurutnya, program ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk mengagihkan subsidi secara adil tanpa mengira lokasi geografi rakyat.
“Kerajaan berpegang kepada prinsip bahawa subsidi mesti dinikmati secara adil oleh semua rakyat sama ada di bandar, luar bandar mahupun di pulau-pulau terpencil.
“Sementara itu, pemantauan berkala akan terus dijalankan bagi memastikan semua POS mematuhi garis panduan bekalan dan harga, termasuk tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan,” kata beliau.
Dalam masa yang sama, beliau menyeru orang ramai agar menjadi mata dan telinga kepada kerajaan dengan melaporkan sebarang penyelewengan harga atau gangguan bekalan melalui saluran rasmi aduan KPDN.
“Kerjasama masyarakat amat penting. Lapor segera jika berlaku ketirisan atau penyelewengan.
“Ini usaha bersama demi kebajikan semua,” ujarnya.
