
KOTA KINABALU – Punca kematian Zara Qairina Mahathir adalah disebabkan kecederaan otak traumatik yang teruk.
Demikian kata, Pegawai Perubatan Jabatan Neurosurgeri Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Pavankumar Balachandran selaku saksi keempat ketika diminta keterangan semasa prosiding inkues Zara Qairini di Mahkamah Koroner, di sini, pada Selasa.
“Keadaan pesakit semakin merosot dan akhirnya disahkan meninggal dunia pada 17 Julai lebih kurang pukul 1:07 petang.
“Punca kematian adalah disebabkan oleh kecederaan otak traumatik yang teruk bersama ‘hypoxic-ischemic encephalopathy’.
“Pegawai penyiasat telah dimaklumkan mengenai kematian tersebut. Mayat disimpan di dalam wad sehingga ketibaan pegawai penyiasat,” katanya.
Jelasnya, beliau juga telah menerangkan kepada pegawai penyiasat dan ibu Zara iaitu Noraidah Lamat berkenaan punca kematian.
Saksi berkata, beliau turut dimaklumkan mangsa sebelum itu ditemukan terbaring tidak sedarkan diri berhampiran longkang di perkarangan tingkat bawah asrama sekolah, sebelum dihantar ke Jabatan Kecemasan dan Trauma HQE pada pukul 4.38 pagi oleh pasukan Pre-Hospital Care (PHC) dari Klinik Kesihatan Kinarut.
Katanya, ‘trauma alert’ telah diaktifkan pada pukul 4.42 pagi dan pemeriksaan awal oleh pasukan neurosurgeri mendapati mangsa sudah berada dalam keadaan intubasi dan tidak menunjukkan sebarang tindak balas neurologi.
“Hasil penilaian oleh pasukan neurosurgeri mendapati pesakit telah diintubasi dan diberi bantuan pernafasan.
“Penilaian neurologi awal, iaitu Skala Koma Glasgow (GCS) adalah E1VTM1 dengan anak mata tetap dan membesar serta tiada refleks batang otak,” ujarnya.



