KOTA KINABALU – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sabah komited dalam usaha meningkatkan hala tuju pemerkasaan sukan, atlet dan golongan belia seluruh negeri Sabah.
Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Fairuz Renddan berkata, pihaknya yakin peruntukan untuk KBS Sabah sebanyak RM90.17 juta bagi perbekalan dan RM11.29 juta bagi tujuan pembangunan yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 boleh dimanfaatkan bagi tujuan dan hala tuju kementerian.
“Kita sedar sebenarnya kita memiliki kekurangan dari segi infrastruktur terutamanya bagi atlet kita yang berada di kawasan luar daripada Kota Kinabalu atau jauh dari pekan utama.
“Namun kekangan inilah yang kita sedang usahakan untuk diperbaiki sikit demi sikit, mengikut kesediaan dan dana yang kita peroleh,” katanya menerusi satu kenyataan media di sini pada Selasa.
Jelas Fairuz, KBS Sabah turut berusaha keras dalam usaha memberi latihan dan merangka jadual para atlet agar misi menuju perlawanan sukan pada masa akan datang mampu membuahkan hasil yang membanggakan.
“Kita yakin para atlet kita walaupun selesai sudah mewakili Sabah beraksi di pentas Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak baru-baru ini, namun mereka masih tetap giat dan gigih berlatih untuk sesi perlawanan akan datang.
“Bagi tujuan ini, KBS Sabah ingin nyatakan bahawa kita sentiasa menyokong dan akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan segala aspek latihan dan keperluan latihan para atlet dari semua sukan dapat dipenuhi.
“Kita tahu untuk tampil sebagai wakil negeri dan bersaing dengan pihak lawan daripada negeri lain sememangnya sukar namun kita yakin, jika kita mampu memberikan dan menyediakan segala keperluan atlet dalam bidang sukan mereka masing-masing pasti mereka akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengharumkan nama Sabah, sekaligus mengibarkan bendera di persada sukan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau menggesa semua belia yang berpotensi dan berbakat dalam sukan untuk tonjolkan bakat kerana Sabah memerlukan atlet berkemahiran dan cekap bagi memastikan kejayaan sukan di negeri ini.
Fairuz turut mengajak pihak sekolah dan ibu bapa agar bersama-sama memberi semangat dan dorongan kepada anak-anak yang berpotensi dalam bidang sukan.





