
KOTA KINABALU – Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (JHEANS) terus memperkasa sistem kehakiman Mahkamah Anak Negeri (MAN) melalui kursus khas bagi meningkatkan kefahaman serta kemahiran dalam pengendalian kes-kes berkaitan.
Pembantu Menteri Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP), Datuk Isnin Aliasnih, berkata pegawai daerah (DO) yang berperanan sebagai hakim MAN di setiap daerah memainkan peranan penting dalam mengendalikan kes-kes berkaitan undang-undang tradisional masyarakat setempat.
“Pemahaman mendalam terhadap prosedur penyemakan serta kemahiran dalam teknik penulisan kehakiman yang jelas, tepat dan berstruktur.
“Pemahaman ini amat penting dalam memastikan sistem kehakiman MAN terus dihormati dan diyakini rakyat.
“Kursus ini bertujuan memperkukuh kefahaman pegawai daerah mengenai prosedur kehakiman agar setiap keputusan yang dibuat selaras dengan undang-undang adat dan tidak menimbulkan percanggahan dalam penghakiman,” katanya mewakili Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam yang juga Menteri KKTP sempena Majlis Perasmian Penutupan Bengkel Kehakiman MAN di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, Isnin turut menekankan bahawa Amanat Ketua Menteri Sabah baru-baru ini harus dijadikan panduan oleh setiap penjawat awam dan hakim MAN dalam menjalankan tanggungjawab mereka berlandaskan prinsip Rukun Negara.
“Kita perlu memastikan undang-undang adat dan warisan masyarakat anak negeri sentiasa dihormati, dipelihara dan diharmonikan agar ia tidak luput ditelan zaman.
“Kita tidak mahu ada percanggahan dalam keputusan yang dibuat.
“Jika ada, ia boleh menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat dan menjejaskan kredibiliti Mahkamah Anak Negeri,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau turut mengingatkan agar setiap kes, terutama yang melibatkan jenayah serius seperti rogol dan sebagainya tidak dipandang remeh.
“Walaupun kes-kes kecil seperti pertikaian tanah, nikah, cerai dan pergaduhan masih mendominasi MAN, keadilan perlu ditegakkan tanpa kompromi.
“Sekarang ini, semuanya di hujung jari. Jika ada keputusan yang tidak adil, masyarakat akan cepat menyalahkan kerajaan.
“Oleh itu, kita harus sentiasa bersikap telus dan profesional,” katanya.
Sementara itu, menurut beliau kerajaan yang ada kini merupakan yang terbaik yang pernah dilihat dan dirasai, walaupun baru memasuki fasa lima tahun.

“InsyaAllah, banyak inisiatif yang kita laksanakan dan jika diberi mandat lagi pada tahun akan datang, usaha ke arah pembangunan negara akan diteruskan dengan semangat yang tinggi.
“Mandat yang diberikan ini bertujuan memastikan kerajaan terus kekal dengan semangat, walaupun masih banyak tugas yang belum selesai,” katanya.