
AHLI Parlimen yang mempertikaikan cadangan menghadkan jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal dinasihatkan agar membaca
membaca buku ‘Membangun Negara MADANI’ sebelum mengkritik semberono.
Tanpa menamakan mana-mana wakil rakyat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, untuk lebih memahami isu berkaitan perlulah merujuk halaman 181 buku penulisannya itu bawah tajuk ‘Dasar Keutamaan Untuk Malaysia Yang Lebih Baik’.
Menurut Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, Anwar mengingatkan segelintir pihak daripada blok pembangkang supaya tidak menjadikan niat murni tersebut sebagai bahan politik perkauman sempit dan dangkal.
“Mengehadkan tempoh jawatan itu nyata tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip asas dalam Perlembagaan Persekutuan malah langkah penting dalam menjamin kematangan demokrasi negara.
“Perdana menteri meminta mana-mana Ahli Parlimen mempersoal perkara ini supaya membaca sebelum mengkritik secara semberono.
“Baca dan hadam buku tulisan Anwar Ibrahim yakni ‘Membangun Negara MADANI’. Sila rujuk muka surat 181, di bawah tajuk Dasar Keutamaan Untuk Malaysia Yang Lebih Baik,” katanya dalam taklimat harian Pejabat Perdana Menteri (PMO), hari ini di Putrajaya.
Tunku Nashrul berkata, Anwar menyarankan cadangan itu dibahaskan dengan sihat dan penuh rasa tanggungjawab serta memandang kepada cabaran masa hadapan selain menjemput semua pihak memberikan input ke arah sebuah sistem telus dan adil.
Semalam, kenyataan Ketua Pemuda Perikatan Nasional, Afnan Hamimi Taib Azamudden yang mendakwa ‘Inilah keadaan negara kita sekarang. Nasib kita yang majoriti ditentukan oleh mereka yang asalnya minoriti’.
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook semalam berhubung sokongan parti berkenaan untuk meminda perlembagaan bagi mengehadkan tempoh memegang jawatan perdana menteri kepada dua penggal atau 10 tahun.
Semalam, Anwar dilaporkan berkata, PKR dan Pakatan Harapan (PH) menyokong cadangan sedemikian tetapi menekankan keperluan berunding dengan parti lain mengenainya.