SEJAK sekian lama, isu tanah sering dijadikan modal politik oleh pihak yang ketandusan idea. Mereka meniupkan naratif kononnya orang Melayu bakal dihalau dari tanah sendiri, kononnya DAP akan merampas tanah rizab Melayu, dan kononnya kampung baru Cina diberi hak kekal. Semua ini hanyalah bayangan palsu yang sengaja disebarkan untuk menanam rasa takut dan marah dalam hati rakyat.
Hakikatnya, tanah rizab Melayu dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan. Jika ada yang ditukar status, maka kerajaan wajib menggantikan dengan keluasan yang sama. Inilah benteng undang-undang yang tidak boleh diganggu gugat sesuka hati oleh mana-mana parti. Maka, fitnah kononnya tanah Melayu sudah tergadai adalah satu pembohongan yang direka untuk memecahbelahkan.
Mengenai kampung baru Cina, kebanyakan status tanah itu hanyalah pajakan sementara (leasehold), bukan hak milik kekal mutlak. Ironinya, ada pihak yang sengaja menutup mata terhadap fakta ini kerana mereka mahu membakar sentimen perkauman, bukannya bercakap benar.
Akta Pengambilan Tanah pula bukanlah alat politik, tetapi satu undang-undang yang memastikan pembangunan negara berjalan dengan pampasan yang adil kepada pemilik asal. Mana mungkin sebuah negara boleh membangun jika tiada mekanisme undang-undang sebegini? Bukankah rakyat juga yang akhirnya menikmati kemudahan awam, jalan raya, sekolah, hospital dan peluang ekonomi hasil daripada pembangunan ini?
Mereka yang menjerit-jerit kononnya UMNO ‘menikus’ dan pemimpin Melayu ‘pengkhianat’ sebenarnya mahu rakyat hilang kepercayaan kepada institusi negara. Mereka mahu orang Melayu terus dibuai dengan ketakutan palsu, supaya mudah dipergunakan sebagai alat politik.
Hari ini Kerajaan Perpaduan sedang bekerja memperkukuh ekonomi Bumiputera, memperluas peluang pendidikan, dan mempertahankan tanah rizab Melayu. Inilah fakta yang nyata, bukan retorik murahan.
Jangan biarkan suara fitnah menguasai minda kita. Rakyat perlu berani menolak politik penakut, politik yang hanya tahu menyalak tanpa solusi. Kita mesti yakin bahawa masa depan Melayu, masa depan Malaysia, hanya akan terjamin jika kita bersama membina dengan fakta dan harapan — bukan dengan kebencian dan dusta.
“Tok abih-abih main sentimen kaum puok-puok ning, ikut dang skali, pelawok nomor satu, mende gok, pioh atah paler cakap lebong.”




