
PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pagi tadi, bagi menyambung proses memberi keterangan.
Beliau yang hadir memberi keterangan untuk kali keempat bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengannya dengan menaiki kenderaan Toyota Velfire warna hitam, tiba sekitar pukul 9.52 pagi tadi.
Beliau yang memakai kot hitam dan baju warna putih sempat membuka tingkap kenderaan yang dinaiki sambil melambai tangan kepada pengamal media yang menunggu sejak pukul 9 pagi.
Ahli Parlimen Bera itu disiasat berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram berhubung perbelanjaan dan perolehan dana untuk promosi serta publisiti program Keluarga Malaysia semasa tempoh perkhidmatan beliau dari Ogos 2021 hingga November 2022.
Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Pada 3 Mac lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, Ismail Sabri ialah suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram, susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang dan 16 kilogram jongkong emas di dalam sebuah safe house, hasil serbuan SPRM.
SPRM juga dilaporkan menyita 13 akaun bank bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Ismail Sabri sudah tampil memberi keterangan kepada SPRM pada Januari 2024 berhubung isu membabitkan penggunaan wang sebanyak RM700 juta untuk publisiti kerajaan semasa pentadbirannya.
Pada 10 Februari lalu, Ismail Sabri sudah menghantar maklumat pengisytiharan harta sebelum keterangannya direkodkan pada 19 Februari lalu.
Ismail Sabri sepatutnya dijadualkan hadir pada 5 Mac lalu untuk memberi keterangan, namun tidak dapat hadir ekoran masalah kesihatan dan diberi sijil cuti sakit.
Beliau hadir merakam percakapan selepas tempoh cuti sakit tamat pada 12 Mac lalu.
Sebelum ini, media melaporkan SPRM telah merekodkan keterangan 32 saksi dan empat bekas pegawai Ismail Sabri yang ditahan sebelum ini berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram.