
KOTA KINABALU – Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menekankan kepentingan mengekalkan hubungan baik antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan demi masa depan serta kemajuan Sabah.
Beliau berkata, walaupun Kerajaan Negeri terus memperjuangkan dan mempertahankan hak-hak Sabah termasuk melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kepentingan negara tetap perlu dijaga.
“Kita mesti tahu bahawa hubungan negeri dengan Persekutuan amat penting sekali. Untuk masa depan Sabah, untuk kemajuan Sabah.
“Sampai kita memimpinkan, menuntut hak kita, mempertahankan hak negeri, kita juga harus menjaga kepentingan negara kita. Itu kepercayaan saya.
“Jangan kita jaga kepentingan negeri, kita robohkan kepentingan negara,” katanya semasa sidang media sempena Majlis Perjumpaan bersama Ahli-Ahli Yang Berhormat Kerajaan di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu petang Isnin.

Menurut beliau, hubungan erat ini membuahkan hasil apabila sebanyak sembilan penurunan kuasa di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diberikan kepada Sabah semasa pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hajiji berkata demikian ketika mengulas kedudukan semasa Kerajaan Negeri yang kini diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama Pakatan Harapan (PH), yang menurutnya telah berjaya membina kerjasama baik dengan Kerajaan Persekutuan.
“Sekarang Kerajaan Negeri adalah kerajaan GRS dan PH.
“Hubungan baik Kerajaan Negeri dengan Persekutuan begitu baik dengan tuntutan kita dalam MA63, semasa PMX inilah kita mendapat sembilan penurunan kuasa diberikan kepada negeri Sabah.
“Jadi ini menunjukkan bahawa hubungan yang baik itu kita perlu teruskan.
“Lagipun sudah lama kerajaan negeri adalah kerajaan GRS dan PH,” ujarnya.
Katanya lagi, kerjasama yang telah terbina sekian lama ini mesti kekal dan diteruskan.