
GAZA – Rejim Israel menyerbu, melepaskan tembakan dan berlegar-legar di dalam Hospital Kamal Adwan, utara Gaza yang mempunyai 600 penghuni di dalamnya termasuk pesakit dan kakitangan hospital sehingga telah meragut dua nyawa kanak-kanak, lapor Anadolu.
Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa rejim Israel sedang melakukan pencarian dan tembakan di dalam Hospital Kamal Adwan, menyebabkan kebimbangan di kalangan 600 orang di dalam, termasuk 70 kakitangan perubatan, 195 pesakit terdiri daripada orang yang cedera, dan penjaga.
Menurutnya, susulan pecerobohan di tempat kesihatan awam itu, dua kanak-kanak yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) hospital telah meninggal dunia akibat rejim Israel mengganggu proses rawatan di dalam hospital.
Agensi itu menambah bahawa tentera Israel turut memusnahkan tiga buah ambulans, kenderaan pengangkutan dan sistem penjanaan kuasa di hospital sehingga melumpuhkan operasi hospital.
Kementerian Kesihatan Gaza turut menggesa organisasi kemanusiaan antarabangsa supaya segera campur tangan untuk melindungi semua warga yang terjejas, dan menyalurkan keperluan asas dengan segera.
Terdahulu, Kementerian Kesihatan berkata telah terputus hubungan dengan kakitangan kesihatan di Hospital Kamal Adwan berikutan pencerobohan tentera Israel.
Rejim Israel menahan puluhan rakyat Palestin yang dipindahkan dari hospital, memaksa mereka menanggalkan pakaian dan memakai seluar pendek kemudian berkumpul di kawasan lapang dalam cuaca sejuk.
Pada 5 Oktober, tentera Israel menyerang utara Gaza, mendakwa ia adalah untuk menghalang Hamas daripada mendapatkan semula kekuatan di kawasan itu, bagaimanapun, rakyat Palestin berkata Israel berusaha untuk menduduki kawasan itu dan secara paksa memindahkan penduduknya.








