
KOTA KINABALU – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mungkin bukan gabungan politik yang sempurna, namun ia merupakan satu-satunya peluang realistik untuk menghentikan perpecahan politik yang sekian lama membelenggu negeri Sabah.
Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Sim Fui berkata, terlalu banyak tenaga dan masa rakyat Sabah telah terbuang akibat pertukaran kerajaan yang kerap, budaya lompat parti serta kewujudan parti-parti baharu yang gagal membawa kestabilan jangka panjang.
“Sejak tahun 1964 hingga kini, lebih 30 parti tempatan telah ditubuhkan.
“Matlamat GRS adalah untuk mengubah keadaan ini menyatukan rakyat, menggabungkan suara kita dan mencontohi kejayaan Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya dalam kenyataan media, di sini, pada Jumaat.
Menurutnya, meskipun GRS tidak terlepas daripada cabaran dalaman serta perbezaan pandangan antara parti komponen, ia masih merupakan wadah terbaik untuk membawa Sabah ke arah masa depan yang stabil dan makmur.
“GRS mungkin tidak sempurna, tetapi inilah peluang sebenar untuk kita belajar daripada sejarah dan membina sebuah gabungan yang mengutamakan kepentingan Sabah bukan kepentingan peribadi atau politik,” katanya.
Dalam pada itu, Chan mengingatkan tentang kesan negatif ketidakstabilan politik di peringkat Persekutuan antara 2018 hingga 2022, termasuk pertukaran tiga Perdana Menteri dalam tempoh yang singkat, yang menurutnya memberi kesan langsung terhadap hala tuju pembangunan negara.
“Rakyat sudah penat dengan politik yang tidak menentu.
“Apa yang mereka mahukan ialah kestabilan, dasar yang konsisten dan pentadbiran yang diyakini mampu memacu ekonomi serta menarik pelaburan,” ujarnya.
Tambahnya, dalam konteks Sabah, beliau menyifatkan tindakan Pakatan Harapan (PH) Sabah yang memilih untuk menyokong Kerajaan Negeri pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor semasa krisis politik 2023 sebagai langkah bijak yang menyelamatkan pentadbiran negeri daripada kejatuhan.
Menurutnya, hanya melalui gabungan yang stabil seperti GRS, Sabah berupaya mempertahankan hak-haknya di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), selain membina kekuatan politik untuk berunding secara lebih yakin dengan Kerajaan Persekutuan.
Sementara itu, beliau menyeru agar semua pemimpin dan rakyat Sabah tidak melupakan semangat asal penubuhan GRS yang berpaksikan kesatuan demi kemajuan bersama.
“Kesatuan adalah kekuatan kita. Hanya dengan kestabilan dan kerjasama erat, kita mampu memastikan masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang,” katanya lagi.
Dalam kenyataan sama, Sim menggesa agar budaya menubuhkan parti baharu setiap kali berlaku perbezaan pendapat dihentikan segera, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama antara parti tempatan demi kepentingan negeri.