
KIMANIS – Susulan kenyataan berbaur fitnah dan membina persepsi palsu terhadap Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, PKR Cabang Kimanis membuat dua laporan polis terhadap pengguna Facebook ‘Hj Adam Jumaat’, pada Khamis.
Ketua Cabangnya, Niki Ramday berkata, laporan polis itu dibuat kepimpinan Wanita PKR Cabang Kimanis iaitu Ketua Wanita Siti Mariam Ag Nuddin dan Setiausaha Cabang, Manja Matdin yang masing-masing telah tampil di Balai Polis Beaufort serta Balai Polis Papar.
“PKR Cabang Kimanis bersama seluruh kepimpinan wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) akan terus berdiri teguh, berganding bahu menyokong kepimpinan Yang Berhormat Fadhlina Sidek serta segala usaha beliau dalam memperkasakan sistem pendidikan negara.
“Kami tidak akan berdiam diri apabila ada pihak yang cuba menabur fitnah, membina persepsi palsu dan memecahbelahkan perpaduan rakyat,” katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

Menurutnya, laporan polis dibuat kepimpinan Wanita itu agar pihak berkuasa menjalankan siasatan yang menyeluruh serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap pemilik akaun tersebut.
Katanya, Wanita juga sekeras-kerasnya mengecam sebarang bentuk penyebaran maklumat palsu dan serangan peribadi terhadap pemimpin khususnya terhadap wanita yang memegang jawatan tinggi dalam kerajaan kerana perbuatan itu bukan sahaja tidak beretika, malah boleh menggugat keharmonian dan kestabilan negara.
Untuk rekod, pengguna akaun Facebook tersebut kerap memuat naik sebarang kenyataan berunsur fitnah, hasutan, serta cubaan menjatuhkan imej dan kredibiliti Fadhlina sebagai Menteri Pendidikan.