
KOTA KINABALU – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, menyeru koperasi wanita melipatgandakan usaha bagi memacu prestasi pencapaian gerakan koperasi wanita negara.
Katanya, setakat ini terdapat sebanyak 250 koperasi wanita berdaftar di seluruh negara dengan jumlah perolehan keseluruhan RM16.2 juta.
“Bagi negeri Sabah, daripada lebih 1,900 koperasi berdaftar sebanyak 33 koperasi wanita dengan catatan perolehan RM1.3 juta.
“Kalau dilihat dari segi peratusan, pencapaian ini masih rendah. Saya ingin melihat pencapaian koperasi wanita dapat dilonjakkan dan langkah awalnya ialah melalui penganjuran seminar kepimpinan seperti ini,” katanya.
Ewon berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Seminar Kepimpinan dan Keusahawanan Koperasi Wanita Sabah 2025 di, The Klagan Hotel di sini pada Ahad.

Mengulas mengenai seminar yang julung kali diadakan itu katanya, ia bukan sahaja menjadi platform penyampaian maklumat daripada pelbagai agensi, tetapi turut memberi motivasi dan galakan kepada koperasi wanita untuk bergerak lebih aktif.
Beliau berkata, koperasi wanita mempunyai potensi besar untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara sekiranya kepimpinan dan tadbir urus diperkasakan dengan baik.
“Saya berharap seminar ini dapat menjadi pemangkin kepada prestasi koperasi wanita yang lebih cemerlang, bukan sahaja di Sabah, tetapi juga di seluruh negara,” ujarnya.
Tambah beliau, tahun 2024, sebanyak 16,284 koperasi berdaftar di seluruh negara dengan perolehan keseluruhan RM68.18 bilion, sekali gus membuktikan sektor koperasi berperanan penting dalam menjana ekonomi negara.