BAGAN DATUK – Kerajaan akan menyalurkan bantuan wang ihsan RM1,000 kepada penduduk terjejas banjir bermula hari ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, walaupun peraturan menetapkan pembayaran bantuan dibuat dalam tempoh tiga hari selepas pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup, namun arahan baharunya adalah supaya bantuan disampaikan serta-merta bagi meringankan beban mangsa.
“Ketika mereka masih berada di PPS pun tidak salah untuk bantuan itu disalurkan.
“Saya telah mengarahkan mulai hari ini bantuan-bantuan itu diberikan kerana mereka memerlukan wang segera untuk membeli peralatan baharu setelah rumah mereka rosak,” katanya, lapor Sinar Harian.
Beliau berkata demikian selepas menerima taklimat mengenai situasi banjir di Pejabat Daerah dan Tanah Bagan Datuk di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, meskipun bantuan ihsan tersebut tidak mencukupi bagi menampung segala kerugian dihadapi setiap keluarga, ia penting memandangkan ramai mangsa kehilangan barangan asas.
“Kita tidak memberikan pampasan, keprihatinan kerajaan ialah membantu kerana bencana ini takdir daripada Allah dan kita harus menerima,” katanya.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu menyifatkan trend banjir kali ini sebagai fenomena luar biasa apabila angin dari Selat Melaka menyebabkan kawasan pantai barat yang jarang terjejas turut dilanda banjir.
Katanya, paling merisaukan ialah jika berlaku gelombang kedua dan ketiga.
“Kesiapsiagaan ini telah diatur dan dikoordinasikan dengan tersusun bersama semua jabatan dan agensi terlibat baik di peringkat negara, negeri mahupun daerah,” katanya.







