PUTRAJAYA – Bank Dunia menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi 2024 kepada 4.9 peratus berbanding 4.3 peratus yang diunjurkan sebelumnya.
Ketua Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Dr Apurva Sanghi, berkata unjuran yang disemak semula itu ialah 0.6 mata peratusan atau 14 peratus lebih tinggi daripada yang diunjurkan sebelum ini, mencerminkan pertumbuhan kukuh dalam penggunaan, pelaburan dan aktiviti perdagangan.
Katanya, Malaysia mencatatkan pelaburan langsung asing (FDI) yang diluluskan dan pelaburan domestik yang kukuh pada separuh pertama tahun ini dan juga mencatatkan kemajuan yang memberangsangkan dalam eksport.
Jelasnya, ringgit juga muncul sebagai mata wang berprestasi terbaik di Asia, mencerminkan keyakinan yang semakin meningkat terhadap asas ekonomi Malaysia.
Beliau menambah pasaran saham Malaysia juga mencatatkan rekod tertinggi pada Jun, dengan modal pasaran mencecah RM2 trilion.
“Pertumbuhan gaji median benar kekal utuh, manakala kadar pengangguran menurun kepada 3.3 peratus, kembali ke paras prapandemik dan kemiskinan tegar hampir dihapuskan, hanya 0.2 peratus isi rumah kini hidup di bawah garis kemiskinan.
“Perkembangan positif ini telah mendorong kami untuk menaikkan unjuran pertumbuhan Malaysia bagi 2024 kepada 4.9 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan laporan Kemas Kini Ekonomi Asia Timur dan Pasifik (EAP) Oktober 2024 dan Bahagian 1 Pemantau Ekonomi Malaysia (MEM) Oktober 2024, di Kuala Lumpur, hari ini.
Sementara itu, Apurva berkata, walaupun petunjuk utama pasaran pekerjaan di Malaysia lebih baik, namun pengangguran berkaitan kemahiran (SRU), merujuk individu yang mempunyai pendidikan tinggi bekerja dalam pekerjaan separuh mahir atau berkemahiran rendah, telah meningkat dengan ketara dari semasa ke semasa.
Justeru, beliau berkata, menangani cabaran SRU memerlukan strategi seperti menyelaraskan pendidikan dengan permintaan industri, meningkatkan daya saing Malaysia, dan menyokong pembangunan kemahiran sepanjang hayat.



