
KOTA KINABALU – Jumlah penduduk terjejas akibat bencana banjir dan tanah runtuh di Sabah terus meningkat dengan 1,707 mangsa daripada 428 keluarga direkodkan setakat pukul 8 malam, Isnin.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam laporan terkini memaklumkan, enam daerah terkesan iaitu Beaufort, Penampang, Tawau, Membakut, Papar dan Putatan.
Daripada jumlah itu, sebanyak 16 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka untuk menempatkan 47 kampung yang terjejas.
Penampang kekal sebagai daerah paling teruk terjejas dengan 744 penduduk daripada 181 keluarga di 22 kampung, diikuti Beaufort yang merekodkan 231 penduduk, Putatan (393), Membakut (202), Papar (78) dan Tawau (59).
“Jumlah mangsa di Penampang, Beaufort, Membakut, Papar dan Putatan menunjukkan peningkatan, manakala situasi di Tawau kekal,” menurut kenyataan itu.
JPBN memaklumkan, jumlah kematian akibat bencana ini masih dalam proses pengemaskinian, sementara kerja pemantauan dan penyelamatan giat dijalankan di lokasi terjejas.