
KOTA KINABALU – Seorang lelaki yang tular di media sosial selepas ditahan di sebuah pusat beli-belah di sini, Mac lalu, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), hari ini.
Tertuduh, Mohd Nico Ansboy, didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di negara ini tanpa sebarang dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, berkata tertuduh ditahan oleh pasukan Task Force Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu ketika menjalankan Ops Cegah Jenayah di kawasan One Borneo Mall, Jalan Sulaman, kira-kira pukul 3 petang, 15 Mac lalu.
“Semasa operasi dijalankan, pihak polis menahan tertuduh dalam keadaan mencurigakan dan dia gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Susulan itu, polis membuka kertas siasatan dan memanggil beberapa individu untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
“Semakan lanjut turut dilakukan termasuk mendapatkan laporan daripada Jabatan Imigresen Malaysia serta pemeriksaan forensik pergigian bagi menentukan umur sebenar subjek.
“Kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya pada 31 Mac lalu sebelum arahan tuduh diperolehi,” katanya dalam kenyataan media, pada Khamis.
Dalam prosiding di hadapan Mahkamah Sesyen 7, Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu hari ini, tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan.
Menurut Kasim, mahkamah kemudiannya menetapkan 30 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi pra-perbicaraan.
“Mahkamah turut memutuskan bahawa tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin.
“Bagaimanapun, pihak peguam memohon sebutan semula kes pada 6 April ini bagi permohonan ikat jamin,” katanya.
Dalam pada itu, Kasim menegaskan pihak polis akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya dalam proses perundangan yang sedang berjalan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan serta prosiding mahkamah.





