LPKP Sarawak perkenal 6 laluan baharu Bas.My Kuching

KUCHING – Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak secara rasminya melancarkan enam laluan baharu perkhidmatan Bas.My Kuching secara serentak, dalam usaha memperluas akses dan kesalinghubungan pengangkutan awam untuk kemudahan penduduk di sekitar bandar raya ini.

Pengerusinya, Michael Kong Feng Nian berkata, inisiatif perluasan rangkaian laluan itu mendapat reaksi positif daripada orang ramai, yang kini dapat menikmati akses pengangkutan awam yang lebih mudah dan boleh diharap di kawasan perumahan masing-masing.

Bagi meninjau sendiri keberkesanan inisiatif berkenaan, beliau telah turun padang dan merasai pengalaman menaiki bas bagi laluan Q15 (Saujana–Stutong Baru/Kuching Sentral).

“Laluan ini menghubungkan beberapa kawasan perumahan utama termasuk Jalan Foochow, Tabuan Jaya, Tabuan Laru, Tabuan Heights, dan Stutong Baru, sekali gus memenuhi keperluan pergerakan harian komuniti yang semakin pesat membangun di kawasan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Walaupun peluasan laluan itu merupakan satu perkembangan yang amat positif, Michael menegaskan aspek ketepatan masa dan kebolehpercayaan perkhidmatan kekal menjadi teras utama Bas.My Kuching.

Menurutnya, dua elemen tersebut adalah faktor penentu dalam membina keyakinan dan penerimaan jangka panjang orang awam untuk terus menggunakan kemudahan berkenaan.

“Oleh itu, pihak LPKP Sarawak akan terus memantau rapat prestasi pengendali bas bagi memastikan mereka mematuhi jadual serta standard perkhidmatan yang telah ditetapkan dengan tegas,” jelasnya.

Sementara itu, beliau turut mengambil maklum mengenai isu aplikasi telefon pintar Bas.My Kuching yang didapati masih belum memaparkan senarai laluan baharu yang diperkenalkan.

Menurut beliau, perkara itu merupakan aspek penting dalam penyampaian perkhidmatan memandangkan ramai pengguna bergantung kepada aplikasi tersebut untuk merancang perjalanan dan mendapatkan maklumat masa nyata.

“Kami akan berhubung segera dengan pihak pembekal sistem untuk memastikan aplikasi itu dikemas kini tanpa sebarang kelewatan, supaya pengguna dapat menerima maklumat yang tepat dan menepati masa,” tegasnya.

Tambahnya lagi, pelancaran enam laluan baharu itu membuktikan komitmen berterusan LPKP Sarawak dalam memartabatkan mutu pengangkutan awam, di samping menggalakkan orang ramai beralih kepada penggunaan kemudahan tersebut.

“Kami akan terus memperhalusi dan meningkatkan perkhidmatan Bas.My Kuching bagi memastikan ia sentiasa menepati jangkaan serta keperluan masyarakat,” ujarnya.

Related Posts

Warga emas cedera parah ditetak dengan parang di kebun durian

GEORGE TOWN – Angkara teguran, seorang warga emas menetak abang kandungnya sehingga cedera parah dengan parang dalam satu pertengkaran di sebuah rumah kebun durian di Paya Terubong, Air Itam di…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Penurunan harga diesel bukti kerajaan prihatin keluhan rakyat

ALOR SETAR – Penurunan harga diesel kepada RM2.10 seliter serta pelaksanaan mekanisme subsidi bersasar menerusi program Budi MADANI yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai ini menunjukkan kesediaan kerajaan mendengar…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Mesyuarat Menteri Besar, Ketua Menteri perhalusi strategi tangani ketidaktentuan global

Mesyuarat Menteri Besar, Ketua Menteri perhalusi strategi tangani ketidaktentuan global

PRN Johor: Maszlee sahut cabaran debat Onn Hafiz

PRN Johor: Maszlee sahut cabaran debat Onn Hafiz

Warga emas cedera parah ditetak dengan parang di kebun durian

Warga emas cedera parah ditetak dengan parang di kebun durian

BDR jimat RM5.98 juta subsidi petrol – KSN

BDR jimat RM5.98 juta subsidi petrol – KSN

Islam bukan milik mana-mana parti, Pas bukan badan pensijilan ‘Halal’ politik

Islam bukan milik mana-mana parti, Pas bukan badan pensijilan ‘Halal’ politik

Penurunan harga diesel bukti kerajaan prihatin keluhan rakyat

Penurunan harga diesel bukti kerajaan prihatin keluhan rakyat