
MUKAH – Kegembiraan sebuah keluarga bertukar duka apabila seorang wanita berusia 21 tahun maut dalam kemalangan ngeri melibatkan tiga buah kenderaan di Kilometer 16, Jalan Mukah-Balingian pada pagi Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 pagi itu, mangsa yang berasal dari Kampung Penipah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala, kaki, tangan dan badan.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, siasatan awal mendapati kejadian bermula apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang dipandu lelaki warga emas berusia 60 tahun mengalami kerosakan enjin secara tiba-tiba.
“Kenderaan 4WD tersebut dalam perjalanan dari arah Balingian menuju ke Bandar Mukah sebelum berhenti mengejut di tengah jalan akibat masalah teknikal.
“Mangsa yang menunggang motosikal di belakang kenderaan berkenaan tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang pacuan empat roda tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut Muhamad Rizal, impak pelanggaran itu menyebabkan mangsa hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan.
“Pada masa yang sama, sebuah lori muatan barang logistik yang dipandu lelaki berusia 31 tahun dari arah Mukah tidak sempat membrek lalu merempuh mangsa.
“Pegawai perubatan dari Hospital Mukah yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa telah meninggal dunia. Bagaimanapun, pemandu 4WD dan pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya lagi.
Beliau menambah, kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.





