Thailand berdepan kebimbangan bekalan minyak

BANGKOK – Barisan panjang di stesen minyak serta papan tanda ‘kehabisan diesel’ di beberapa kawasan di Thailand sejak seminggu lalu menimbulkan kebimbangan orang ramai terhadap bekalan bahan api negara itu.

Lapor Bangkok Post, keadaan itu juga mencetuskan pembelian panik dalam kalangan pengguna.

Pakar ekonomi berkata, situasi berkenaan menunjukkan kelemahan komunikasi krisis oleh kerajaan sehingga menimbulkan kebimbangan tidak perlu dalam kalangan rakyat.

Ketua Ahli Ekonomi Kiatnakin Phatra Financial Group, Pipat Luengnaruemitchai berkata, kenaikan harga minyak global akan memberi kesan langsung kepada isi rumah, terutama golongan berpendapatan rendah.

Beliau berkata, kerajaan perlu menyampaikan maklumat yang jelas kepada rakyat supaya mereka dapat bersedia menghadapi kenaikan harga tenaga.

Menurutnya, subsidi tenaga sepatutnya disasarkan kepada golongan berpendapatan rendah, bukan diberikan secara menyeluruh.

Dalam jangka panjang katanya, Thailand perlu mempelbagaikan sumber import tenaga serta mempercepat pembangunan tenaga alternatif.

Pada masa ini, tenaga alternatif menyumbang kurang daripada 20 peratus penggunaan tenaga negara itu, jauh lebih rendah berbanding negara maju.

Penyelidik Thailand Development Research Institute, Nonarit Bisonyabut berkata, semua pihak perlu berkongsi beban krisis tenaga supaya negara dapat mengatasinya dengan lebih baik.

Beliau berkata, kerajaan tidak perlu campur tangan secara berlebihan dalam harga minyak kerana orang ramai perlu memahami bahawa kenaikan harga berpunca daripada pasaran global.

Jelasnya, harga minyak wajar dinaikkan secara berperingkat dengan campur tangan kerajaan yang terhad.

Bagaimanapun, pihak berkuasa perlu memantau kemungkinan berlaku penyorokan bekalan atau keuntungan berlebihan oleh pihak tertentu.

Jika harga minyak mentah melebihi AS$100 setong dan kekal tinggi lebih tiga bulan, kerajaan mungkin perlu campur tangan dengan mengurangkan cukai bahan api, katanya.

Sementara itu, penasihat kehormat Persatuan Perdagangan Borong dan Runcit Thailand, Somchai Pornrattanacharoen berkata, kerajaan tidak wajar menambah hutang awam untuk menampung subsidi petrol.

Beliau mencadangkan kerajaan memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan kos sara hidup rakyat seperti mensubsidi pengangkutan awam.

Dalam pada itu, pengendali bas menjangkakan perjalanan sempena cuti Songkran akan berkurangan berikutan kebimbangan terhadap bekalan minyak dan kenaikan harga bahan api.

Penasihat Persatuan Pengendali Pengangkutan Thailand, Wasuchet Sophonsathien berkata, bahan api menyumbang antara 60 hingga 70 peratus kos operasi bas.

Katanya, setiap kenaikan satu baht harga diesel boleh meningkatkan kos operasi kira-kira tiga peratus.

Beberapa pihak turut mencadangkan penggunaan arang batu sebagai langkah sementara bagi menampung keperluan tenaga negara.

Naib Presiden Eksekutif Kanan Bangkok Bank, Kobsak Pootrakool berkata, Thailand mempunyai bekalan arang batu mencukupi dan loji janakuasa sedia ada boleh digunakan semula buat sementara waktu.

Selain itu, kerajaan disaran mempercepat pembangunan tenaga solar dan kenderaan elektrik bagi mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil.

Thailand juga merancang meningkatkan penggunaan biofuel bagi mengurangkan kebergantungan kepada minyak import.

Antara langkah dipertimbangkan ialah memperluas penggunaan gasohol E20 yang mengandungi 20 peratus etanol.

Langkah itu berpotensi mengurangkan import minyak mentah sebanyak 2.9 juta liter sehari.

Kerajaan Thailand turut meningkatkan sementara kadar campuran biodiesel dalam diesel daripada lima kepada tujuh peratus bagi tempoh tiga bulan bermula 14 Mac hingga 13 Jun 2026.

Langkah itu bertujuan menstabilkan harga bahan api dan mengurangkan import minyak.

Related Posts

Keretakan Pas-Bersatu jelas terserlah, calon MIPP diiringi 7 penyokong sahaja

JOHOR BAHRU – Keretakan dalam Perikatan Nasional (PN) dilihat semakin jelas apabila calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pemanis, Dr A Arvind daripada Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), hanya diiringi…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Hari Bekerja Hibrid pemangkin transformasi ekonomi digital

KOTA KINABALU – Pelaksanaan Hari Bekerja Hibrid (HBH) yang membolehkan penjawat awam bekerja tiga hari di pejabat dan dua hari secara fleksibel mulai 1 Ogos 2026 merupakan satu langkah transformasi…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Keretakan Pas-Bersatu jelas terserlah, calon MIPP diiringi 7 penyokong sahaja

Keretakan Pas-Bersatu jelas terserlah, calon MIPP diiringi 7 penyokong sahaja

JKKK Kuala Sapi harap lebih banyak program komuniti diperkasa

JKKK Kuala Sapi harap lebih banyak program komuniti diperkasa

Hari Bekerja Hibrid pemangkin transformasi ekonomi digital

Hari Bekerja Hibrid pemangkin transformasi ekonomi digital

Usia 15 tahun sudah berjinak dengan dadah sintetik

Usia 15 tahun sudah berjinak dengan dadah sintetik

Rakyat mahu Anwar terus terajui negara, kekal jadi PM selepas PRU16

Rakyat mahu Anwar terus terajui negara, kekal jadi PM selepas PRU16

DAPSY perjelas isu Pelabuhan Bintulu, hargai usaha keras kerajaan Sarawak

DAPSY perjelas isu Pelabuhan Bintulu, hargai usaha keras kerajaan Sarawak