KUALA LUMPUR – Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah hari ini berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Surau Utama Istana Negara, di sini.
Turut menunaikan solat sunat berkenaan ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis.
Antara yang hadir ialah Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.
Turut hadir Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul; Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh selain para perwakilan asing.
Seri Paduka Baginda bersama jemaah kemudiannya bertakbir raya sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri yang dipimpin Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Munir Md Salleh.
Sultan Ibrahim seterusnya berkenan mendengar khutbah Aidilfitri bertajuk “Syawal: Bangkit Daripada Ujian, Bersatu Dalam Keimanan” yang disampaikan oleh Munir.
Khutbah berkenaan antara lain mengingatkan masyarakat supaya tidak melupakan penderitaan umat Islam di rantau Asia Barat yang sedang berdepan konflik dan pergolakan yang semakin meruncing.
Sehubungan itu, khatib menyeru umat Islam agar terus memperkukuh kesatuan, menjauhi perpecahan serta memelihara keharmonian dalam masyarakat.
Dalam masa sama, rakyat turut diingatkan supaya mengamalkan sikap berjimat cermat dan tidak berlebih-lebihan dalam perbelanjaan berikutan keadaan dunia yang tidak menentu akibat konflik dan peperangan.
Selesai khutbah, Seri Paduka Baginda berkenan bersalaman dengan para jemaah sebelum berangkat menghadiri Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri.







