PUTRAJAYA – Cadangan untuk memperkembangkan fungsi Madinatul Al-Quran sebagai pusat pengajian serta penyelidikan al-Quran di rantau ini akan dibincangkan dalam masa terdekat bersama Yayasan Restu dan pihak berkaitan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perancangan pembinaan pusat tersebut adalah sebagai pusat pencetakan mushaf di negara ini.
Menurut beliau, langkah itu berpotensi menjadi projek ‘ummah’ dengan penyertaan masyarakat Islam di dalam serta luar negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Rencana untuk membina umpamanya Madinatul Quran, saya insya-Allah dalam satu dua hari akan bincang dengan Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu (Datuk Abdul Latiff Mirasa), ada satu idea yang baik oleh Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Fadillah Yusof) untuk menjadikan ini projek umat, dalam negara dan luar.
“Menjadikan ini bukan sahaja gedung, tetapi pengisian yang jauh lebih besar daripada yang direncanakan supaya ia bukan sahaja pusat pencetakan Mushaf tetapi juga menjadikan pusat pengajian, institusi penyelidikan utama di rantau ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Mushaf Malaysia MADANI di Kompleks Nasyrul Quran di Putrajaya, pada Isnin.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan serta Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan.
Anwar berkata, usaha itu juga menjadi ikhtiar yang wajar dilihat sebagai projek penting dalam kerangka pembangunan negara MADANI, khususnya dari sudut ekonomi, sosial dan teknologi yang perlu berpaksikan nilai kemanusiaan berasaskan ajaran al-Quran.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengimbau sejarah awal penerbitan mushaf al-Quran di Malaysia yang bermula daripada idea untuk menghasilkan mushaf sendiri sebagai sumbangan kepada umat Islam.
“Sepanjang lawatan rasmi ke pelbagai negara termasuk Peru, Brazil, Afrika Selatan, Itali dan Jerman, mushaf al-Quran Malaysia sering dibawa sebagai hadiah kepada masyarakat Islam setempat.
“Di mana-mana saya pergi, saya bawa Mushaf al-Quran untuk disampaikan kepada umat Islam, yang besar diletakkan di masjid, yang sederhana diedar kepada guru agama, yang kecil kepada mereka yang biasa dengan hafalan,” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Pengerusi Yayasan Restu, Datuk Ahmad Maslan berkata Madinatul Quran di jangka siap awal 2028 di Putrajaya yang bakal jadi pusat pembelajaran, keindahan syiar, penemuan saintifik, pendidikan Islam berteraskan Al-Quran.





