
SARATOK – Sambutan Hari Raya Aidilfitri wajar dimanfaatkan sebagai peluang untuk memperkukuh hubungan kekeluargaan serta mengeratkan silaturrahim dalam kalangan masyarakat, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri.
Beliau berkata amalan kunjung-mengunjung dan budaya saling bermaafan sepanjang bulan Syawal perlu diteruskan kerana ia bukan sahaja menyemarakkan kemeriahan Aidilfitri, malah mampu mengeratkan hubungan yang telah sekian lama terjalin antara ahli keluarga dan rakan-rakan.
“Suburkan semangat segulai sejalai untuk kita membangunkan DUN Kalaka dan seluruh negeri Sarawak khususnya. Sesuai dengan hasrat kita untuk meningkatkan sosio ekonomi dan melahirkan modal insan yang berintegriti demi masa depan yang cemerlang dan gemilang.
“Sempena sambutan Aidilfitri ini, saya juga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri serta memohon maaf zahir dan batin sekiranya terdapat sebarang keterlanjuran tutur kata dan perbuatan,” katanya ketika dihubungi The Malaysia Press.
Menurutnya lagi, Aidilfitri merupakan masa terbaik untuk memperbaharui hubungan kekeluargaan serta memupuk nilai kasih sayang, hormat-menghormati dan perpaduan dalam masyarakat.
Dalam pada itu, kerjasama dan perpaduan semua pihak sangat penting bagi meningkatkan sosioekonomi masyarakat di samping melahirkan modal insan yang berintegriti demi masa depan yang lebih cemerlang dan gemilang.






