Akta Sewa Beli dipinda, kaedah faedah lama dimansuhkan mulai 1 Jun

KOTA KINABALU – Pindaan kepada Akta Sewa Beli 1967 akan mula dikuatkuasakan pada 1 Jun ini bagi memastikan transaksi sewa beli di negara ini lebih telus dan adil kepada pengguna, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.

Katanya, pindaan itu merupakan sebahagian daripada reformasi undang-undang kerajaan dalam sektor kredit pengguna.

“Pembaharuan tersebut turut berkait dengan penggubalan Akta Kredit Pengguna 2025 (Akta 873) yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 8 Oktober 2025 dan Dewan Negara pada 1 Disember 2025.

“Pindaan Akta Sewa Beli 2026 ini telah diwartakan pada 30 Januari lalu dan akan mula dikuatkuasakan pada 1 Jun ini.

“Pindaan ini turut memansuhkan penggunaan kaedah kadar faedah sama rata (flat rate) serta kaedah Rule of 78 yang sebelum ini digunakan dalam pengiraan pinjaman sewa beli,” ujarnya pada sidang media sempena Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan (HPK) 2026 di sini, pada Ahad.

Tambah Armizan, di bawah kerangka baharu berkenaan, kerajaan memperkenalkan kaedah ‘reducing balance method’ serta kadar faedah efektif bagi memastikan pengiraan pinjaman lebih adil kepada pengguna.

“Melalui kaedah tersebut bayaran ansuran sejak awal tempoh pinjaman akan mengambil kira pembayaran kepada prinsipal dan faedah secara lebih seimbang.

“Kaedah lama sebelum ini lebih tertumpu kepada bayaran faedah pada peringkat awal tempoh pinjaman,” jelasnya.

Dalam pada itu, katanya, pendekatan baharu tersebut akan memberi manfaat khususnya kepada pengguna yang membuat penyelesaian awal pinjaman kerana baki prinsipal akan berkurangan dengan lebih cepat.

“Pindaan berkenaan turut menyokong transformasi digital dalam transaksi sewa beli termasuk membenarkan penggunaan tandatangan serta penyerahan dokumen secara digital dan elektronik.

“Pada masa sama, kita masih memberi tempoh peralihan kepada penyedia kemudahan kredit sehingga 31 Mac 2027 sebelum pelaksanaan baharu ini diwajibkan sepenuhnya,” ujarnya.

Menurut Armizan, tempoh peralihan itu dipendekkan berbanding cadangan awal 18 bulan selepas mengambil kira pandangan Ahli Parlimen serta desakan pertubuhan pengguna yang mahu undang-undang tersebut dilaksanakan lebih awal.

Sementara itu, Armizan berkata, institusi perbankan akan menawarkan diskaun ihsan atau goodwill discount bermula pada tarikh kuat kuasa Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 iaitu pada 1 Jun ini.

Katanya, tawaran itu susulan pengumuman oleh Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM), Persatuan Institusi-Institusi Perbankan Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan (ADFIM) pada Disember 2025.

“Diskaun ini akan diberikan kepada pelanggan di bawah kaedah lama, iaitu kadar faedah sama rata dan Rule of 78, yang memilih untuk membuat penyelesaian awal.

“Ia bagi memastikan baki tertunggak mereka setara dengan pelanggan yang memasuki perjanjian baharu berasaskan kadar faedah efektif dan kaedah pengurangan baki di bawah Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026,” kongsinya.

Related Posts

RGT Kemaman: Antara harapan besar dan realiti yang perlu dinilai secara jujur

CADANGAN pembangunan projek Regasification Terminal (RGT) di Kemaman yang dijangka siap menjelang 2029 dilihat sebagai satu langkah strategik untuk mengangkat Terengganu sebagai hab LNG di Pantai Timur. Dalam naratif pembangunan,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
4 RUU diluluskan pada sidang DUN Sabah ke-17

KOTA KINABALU – Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan empat Rang Undang-Undang (RUU) pada mesyuarat pertama penggal kedua DUN Sabah yang ke-17, di sini pada Khamis.  Antara RUU baharu yang…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

RGT Kemaman: Antara harapan besar dan realiti yang perlu dinilai secara jujur

RGT Kemaman: Antara harapan besar dan realiti yang perlu dinilai secara jujur

4 RUU diluluskan pada sidang DUN Sabah ke-17

4 RUU diluluskan pada sidang DUN Sabah ke-17

Pengosongan Balai Luak Undang Sungei Ujong oleh Mubarak ditangguhkan

Pengosongan Balai Luak Undang Sungei Ujong oleh Mubarak ditangguhkan

SICC transformasi jadi platform strategik jaringan perniagaan serantau

SICC transformasi jadi platform strategik jaringan perniagaan serantau

Hari Sukan SK FELDA Jengka 24 platform jalin hubungan antara komuniti

Hari Sukan SK FELDA Jengka 24 platform jalin hubungan antara komuniti

133 jemaah haji Sarawak berangkat ke Tanah Suci diiringi doa TYT Sarawak

133 jemaah haji Sarawak berangkat ke Tanah Suci diiringi doa TYT Sarawak