
KOTA KINABALU – Kerajaan memberi jaminan bahawa bekalan beras di Sabah masih berada pada tahap selamat dan mencukupi untuk menampung keperluan rakyat sehingga sembilan bulan walaupun terdapat laporan kekurangan bekalan di beberapa daerah sejak kebelakangan ini.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, stok simpanan beras (stockpile) di negeri itu ketika ini berada pada paras stabil dan mampu menampung keperluan pengguna.
Menurutnya, jumlah tersebut menjadi lebih kukuh apabila digabungkan dengan stok perdagangan, stok yang dipegang pemborong serta bekalan beras tempatan yang sedia ada.
“Jika digabungkan dengan stok perdagangan, stok pemborong dan bekalan beras tempatan, jumlah keseluruhan bekalan beras di Sabah boleh bertahan sehingga sembilan bulan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan kekurangan bekalan beras yang dilaporkan berlaku di beberapa daerah di negeri itu.
Jamawi berkata, pihak kementeriannya telah berhubung dengan BERNAS Negeri Sabah yang bertanggungjawab mengurus dan mengedarkan bekalan beras bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung situasi tersebut.
“BERNAS memaklumkan bahawa bekalan beras sebenarnya mencukupi dan kekurangan yang berlaku di beberapa kawasan hanyalah bersifat sementara.
“Bekalan beras ke daerah-daerah yang dilaporkan mengalami kekurangan kini sedang dalam proses penghantaran oleh pembekal yang telah dilantik oleh BERNAS,”
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya tidak panik kerana kerajaan sentiasa memantau situasi bekalan makanan asas di negeri ini dari semasa ke semasa.
Dalam masa sama, Jamawi berkata kementeriannya telah mengambil langkah proaktif bagi meningkatkan pengeluaran padi dan beras tempatan di Sabah.
“Sesi libat urus telah diadakan di kawasan jelapang padi Terusan Sapi pada Februari lalu bagi meneliti usaha meningkatkan pengeluaran padi di kawasan berkenaan.
“Selain itu, perbincangan turut diadakan bersama pihak berkaitan di kawasan jelapang padi Kota Belud bagi mengenal pasti isu yang menjejaskan pengeluaran padi di kawasan tersebut.
“Hasil perbincangan itu, beberapa perkara telah dikenal pasti untuk dipertingkatkan bagi meningkatkan hasil padi dan pengeluaran beras di Sabah,” jelasnya.
Jamawi turut memaklumkan bahawa kerajaan telah menerima jaminan peruntukan daripada Kementerian Ekonomi untuk membuka tambahan kawasan sawah padi terbiar seluas 2,000 hektar.
“Kawasan baharu itu melibatkan beberapa daerah termasuk Kota Belud, Terusan Sapi, Telupid, Tambunan, Keningau dan Tenom.
“Pemantauan juga telah dilakukan apabila beliau bersama pegawai berkaitan turun padang bagi meninjau kawasan sawah padi serta sistem pengairan yang dikenal pasti sesuai untuk pembangunan jelapang padi,” jelasnya.
Langkah tersebut katanya bertujuan meningkatkan tahap sara diri (SSL) pengeluaran beras negeri Sabah pada masa akan datang.
“Kerajaan negeri melalui kementerian saya akan terus berusaha meningkatkan hasil serta bekalan padi dan beras di Sabah bagi memastikan keperluan rakyat sentiasa mencukupi,” katanya.
Bagaimanapun beliau mengakui Sabah masih perlu bergantung kepada import beras bagi memenuhi permintaan semasa.
“Kebergantungan kepada import tidak dapat dielakkan kerana keadaan ini telah berlarutan sejak sekian lama, namun kerajaan akan terus memastikan bekalan beras di Sabah kekal stabil dan mencukupi untuk keperluan rakyat,” ujarnya.






