PEMAIN remaja, Max Dowman mencipta sejarah apabila muncul penjaring termuda dalam Liga Perdana Inggeris selepas membantu Arsenal menewaskan Everton 2-0 dalam aksi di Stadium Emirates, awal pagi tadi.
Pemain berusia 16 tahun itu memastikan kemenangan penting buat Arsenal apabila meledak gol kedua pada penghujung perlawanan sekali gus mengukuhkan kedudukan pasukannya dalam perebutan kejuaraan musim ini.
Arsenal terlebih dahulu memecah kebuntuan pada minit ke-89 menerusi pemain gantian Viktor Gyokeres yang menyudahkan hantaran lintang Dowman selepas kedua-dua pemain dimasukkan dari bangku simpanan.
Dowman kemudian melengkapkan malam gemilangnya apabila mencipta jaringan bersejarah pada masa kecederaan.
Ketika penjaga gol Everton, Jordan Pickford naik membantu serangan untuk sepakan sudut terakhir pelawat, bola yang berjaya dipatahkan Arsenal jatuh kepada Dowman.
Pemain muda itu berlari lebih separuh padang sebelum mudah menolak bola ke gawang kosong, sekali gus mencetuskan sorakan gemuruh penyokong tuan rumah di Stadium Emirates.
Terdahulu, Arsenal bernasib baik tidak dibolosi pada babak pertama apabila percubaan Dwight McNeil sekadar terkena tiang gol meskipun Everton mencipta beberapa peluang lebih baik.
Bagaimanapun, semangat juang tinggi menyaksikan Arsenal berjaya mengutip tiga mata berharga dalam usaha memburu kejuaraan liga pertama sejak 2004.
Kemenangan itu menyaksikan Arsenal kini mengumpul 70 mata daripada 31 perlawanan, sekali gus berada sembilan mata di hadapan pencabar terdekat, Manchester City.







