
IPOH – Kerajaan Negeri Perak tetap meneruskan penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri negeri yang dijadual berlangsung pada Sabtu depan di Stadium Indera Mulia, di sini.
Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri mengambil maklum keputusan Kabinet yang tidak menggalakkan kementerian, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menganjurkan rumah terbuka secara berasingan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Menurutnya, sehubungan itu GLC di Perak dinasihatkan supaya tidak mengadakan majlis berasingan bagi mengelakkan perbelanjaan yang tidak perlu.
Bagaimanapun beliau berkata, kerajaan negeri tidak menghalang sekiranya penganjuran dibuat secara bersama oleh beberapa agensi atau GLC dalam satu majlis bagi mengekalkan kemeriahan sambutan Aidilfitri.
“Jika ada kolaborasi melibatkan agensi seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) dan agensi lain untuk menganjurkannya pada satu hari sahaja, kerajaan negeri membenarkannya.
“Yang penting jangan dibuat secara berasingan pada hari yang berbeza kerana kita juga mengambil kira usaha penjimatan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Fiesta Raya Ipoh 2026 Riverfront @ Old Town di Kinta Riverwalk, di sini pada Sabtu.
Turut hadir, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee.
Dalam pada itu, Saarani berkata kerajaan negeri juga mengambil kira komitmen tempahan yang telah dibuat dengan pihak katerer sebelum ini, selain mempertimbangkan sumber pendapatan pekerja yang terlibat dalam sektor berkenaan.
Terdahulu, Anwar Ibrahim pada Khamis mengumumkan kementerian, agensi serta GLC tidak akan menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri tahun ini sebagai langkah berjimat cermat susulan ketidaktentuan ekonomi global, khususnya akibat konflik di Asia Barat.




