
KUANTAN – Bermula sebagai inisiatif kecil pada awal tahun 2025, program Rumah Ngaji di Kampung Tengah, dekat sini, berkembang pesat menjadi pusat kecemerlangan rohani bagi kanak-kanak dalam komuniti setempat.
Sehingga kini, seramai 45 pelajar berusia antara 7 hingga 15 tahun tekun mengikuti kelas pengajian Al-Quran yang diadakan secara rutin setiap sesi petang dan malam.
Misi Memperkasa Al-Quran dan Adab
Ahli Dewan Undangan Negeri (Lantikan) Pahang, Datuk Ahmad Irshadi Abdullah Al-Qari berkata, objektif utama penubuhan Rumah Ngaji bukan hanya untuk melahirkan generasi celik al-Quran, malah turut memfokuskan aspek kualiti dalam pembacaan ayat suci itu.
“Program ini memberi fokus kepada peningkatan kualiti bacaan al-Quran dan dalam masa yang sama mendidik kanak-kanak membaca dengan tajwid yang betul serta memperbaiki mutu bacaan sedia ada.
“Usaha ini akhirnya dapat membantu dalam pembentukan karakter mereka terutama membabitkan aspek adab dan akhlak dalam kehidupan seharian bagi melahirkan insan syumul,” jelasnya.
Sokongan Padu Kepimpinan dan Masyarakat
Ahmad Irshadi juga menjelaskan pihaknya menaja sepenuhnya elaun untuk guru al-Quran yang terbabit secara langsung dalam menjayakan program berkenaan.
Katanya, sumbangan daripada orang perseorangan turut membantu dalam menggerakkan pelbagai aktiviti tambahan seperti program Smart Solat dan kem motivasi di situ.
“Inisiatif ini dilihat sebagai satu ‘ruang selamat’ dan positif bagi anak-anak komuniti berkumpul, belajar dan seterusnya membina jati diri agar terus dekat dengan institusi masjid serta nilai-nilai agama sejak dari usia muda,” ujarnya.

Majlis Iftar Menyantuni Kanak-Kanak
Semalam, satu majlis iftar ringkas tetapi bermakna diadakan di situ bagi menyantuni para pelajar dan penduduk setempat.
Majlis itu bukan sahaja bertujuan untuk berbuka puasa bersama, malah menjadi platform buat pemimpin dan masyarakat melihat sendiri perkembangan pendidikan anak-anak di Rumah Ngaji berkenaan.
“Kita mahu memastikan anak-anak kampung kita tidak terpinggir daripada arus pendidikan agama.
“Rumah Ngaji ini adalah benteng untuk mereka menghadapi cabaran zaman,” jelasnya.





