
KOTA KINABALU – Keupayaan Malaysia untuk mengekalkan harga RON95 pada paras RM1.99 seliter di waktu dunia sedang dilanda kenaikan harga petroleum susulan konflik Asia Barat membuktikan kestabilan ekonomi negara.
Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah, Dr. Jain Yassin berkata, keupayaan tersebut secara tidak langsung memberi manfaat kepada rakyat dan juga ekonomi khususnya sektor pelaburan negara.
“Memang kalau kita lihat secara kasarnya, ada dua lensa yang kita boleh nampak di sini. Satu lensa daripada sudut sebagai pengguna iaitu rakyat dan satu lensa lagi daripada sudut ekonomi.
“Ia boleh meningkatkan ataupun memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa ekonomi kita masih lagi dalam landasan yang stabil,” katanya ketika dihubungi wartawan TMP, di sini pada Rabu.
Tambahnya, dari sudut pandangan ekonomi pula ia memberi isyarat kepada pelabur-pelabur luar bahawa Malaysia mempunyai kapasiti fiskal dan rizab yang stabil mencerminkan pengurusan ekonomi di Malaysia pada tahap yang baik.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga RON95 dibawah inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) akan dikekalkan pada paras RM1.99 seliter walaupun harga pasaran minyak dunia naik secara mendadak ketika ini termasuk negara-negara jiran.

Langkah cadangan stabilkan harga bahan api tanpa jejaskan ekonomi negara
Ketika ditanya mengenai cadangan yang boleh dilaksanakan bagi memastikan negara terus mengekalkan kestabilan harga bahan api tanpa menjejaskan ekonomi, Jain berkata, langkah penjimatan perlu diambil di peringkat kerajaan, pengurusan serta dalam kalangan rakyat.
“Cadangan ini kita boleh lihat daripada dua sudut juga jangka panjang dan jangka pendek.
“Apa yang boleh dibuat adalah langkah penjimatan di peringkat kerajaan, pengurusan dan juga di peringkat rakyat juga perlu diwar-warkan sebab kita sedang berhadapan dengan ketidakpastian ekonomi.
“Maksudnya mungkin dalam tempoh tiga bulan ke enam bulan kita tidak pasti apa yang akan berlaku kepada ekonomi mungkin kita akan ada gelembung ekonomi ataupun yang boleh membawa kepada krisis ekonomi yang tidak pasti,” kongsinya.
Perancangan teliti, negara dan rakyat
Jain berkata, langkah penjimatan daripada sudut kewangan negara juga perlu mempunyai pelan atau rancangan yang lebih teliti.
“Rakyat juga perlu mempersiapkan kewangan peribadi seperti membuat simpanan atau tabungan isi rumah bagi menghadapi waktu kritikal.
“Bagi langkah jangka panjang pula, kerajaan perlu menilai semula subsidi seperti memperkukuhkan subsidi bersasar dengan hanya memberikan subsidi kepada yang benar-benar memerlukan atau pemberian subsidi mengikut tahap pendapatan.
“Mungkin hanya golongan yang betul-betul memerlukan akan mendapat manfaat daripada hasil subsidi ataupun mungkin ada beberapa jenis subsidi untuk RON95.
“Subsidi boleh dikecilkan mengikut pendapatan, maksudnya hanya berpendapatan RM4 ribu ataupun RM5 ribu ke bawah hanya akan layak mendapat subsidi.
“Atau rakyat berpendapatan lebih rendah boleh mendapat subsidi lebih besar manakala yang berpendapatan tinggi dapat subsidi lebih kecil, ia adalah subsidi bersasar agar dapat mengurangkan beban kewangan penyaluran subsidi,” ujarnya.








