
PUTRAJAYA – Kerajaan perlu mempertimbangkan pelaksanaan serentak Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dengan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menjimatkan kos dan mengurangkan ketidaktentuan politik.
Naib Pengerusi Amanah Johor, Suhaizan Kayat berkata, sekiranya PRU16 dirancang secara strategik, pilihan raya Parlimen dan beberapa negeri termasuk Melaka serta Johor boleh dipertimbang diadakan lebih awal dan dilaksanakan serentak.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pulai berpandangan, pendekatan berkenaan mempunyai beberapa kelebihan termasuk penjimatan kos yang besar.
“Langkah ini juga boleh mengurangkan keletihan politik akibat pilihan raya yang kerap selain memberikan mandat yang lebih jelas dan stabil kepada kerajaan di semua peringkat.
“Ini juga untuk memberi tumpuan kepada pengurusan ekonomi serta kesejahteraan rakyat,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Khamis.
Beliau merujuk kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggesa kerajaan serta seluruh negara mengamalkan pendekatan berhemah dan penjimatan susulan kemungkinan cabaran ekonomi akibat ketidaktentuan geopolitik dunia, khususnya konflik melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran.
Semalam, Anwar mengumumkan kerajaan tidak akan menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri bagi agensi kerajaan sebagai langkah penjimatan dalam menghadapi kesan konflik di Asia Barat, sekali gus mengelakkan keadaan ekonomi negara menjadi lebih terkesan.
Sementara itu, Suhaizan berkata, dalam situasi dunia yang semakin tidak menentu ketika ini, negara memerlukan kestabilan politik, disiplin fiskal serta perancangan strategik bagi memastikan Malaysia lebih bersedia menghadapi sebarang kesan daripada krisis global.
“Saya percaya cadangan ini wajar dipertimbangkan secara serius demi kepentingan negara dan rakyat,” katanya.
Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang sebelum ini diadakan pada 20 November 2021 dijangka tamat tempoh penggalnya pada penghujung tahun ini, manakala Johor pula, tempoh penggal Dewan Undangan Negeri akan berakhir pada Mac tahun depan selepas pilihan raya negeri terakhir diadakan pada Mac 2022.
Dua minggu lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan pihaknya bersedia sekiranya PRU16 diadakan lebih awal termasuk kemungkinan dilaksanakan serentak dengan pilihan raya negeri Melaka dan Johor.
Menurut badan itu, pelaksanaan pilihan raya secara serentak berpotensi menjadi langkah terbaik bagi menjimatkan kos yang boleh mencecah puluhan juta ringgit.






