
PUTRAJAYA – Tindakan untuk tidak mengadakan rumah terbuka Aidilfitri dan mengurangkan lawatan ke luar negara merupakan isyarat positif bahawa kerajaan melakukan penjimatan dengan mengutamakan perbelanjaan yang benar-benar penting ketika ketidaktentuan global ketika ini akibat krisis berterusan di Asia Barat.
Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, langkah yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu juga akan memastikan sumber negara disalurkan kepada program yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
“Ini adalah satu keputusan yang tepat pada masanya dan bertanggungjawab berikutan ketidaktentuan global ketika ini, terutama krisis yang berterusan di Asia Barat yang memberi kesan kepada kestabilan ekonomi, harga tenaga serta kos sara hidup secara keseluruhan.
“Ketika ramai rakyat Malaysia sedang mengikat perut dan berjimat cermat, adalah wajar bagi kerajaan untuk turut menunjukkan sikap berhemah serta disiplin fiskal dalam pengurusan dana awam,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Khamis.
Bagaimanapun, selaras semangat perbelanjaan berhemah, Lam Thye memaklumkan beberapa langkah penjimatan tambahan juga boleh dipertimbang, termasuk menggunakan perkhidmatan penerbangan kelas perniagaan dan bukan kelas pertama jika lawatan rasmi ke luar negara perlu dilakukan.
Beliau yang juga Pengerusi Alliance for a Safe Community berkata, delegasi rasmi juga wajar dihadkan kepada kumpulan kecil dan benar-benar diperlukan supaya lawatan berkenaan lebih berfokus serta menjimatkan kos.

“Selain itu, mesyuarat secara maya dan penggunaan platform digital perlu diperluas bagi mengurangkan perbelanjaan perjalanan.
“Kementerian dan agensi kerajaan juga boleh menilai semula perbelanjaan lain yang bersifat tidak mendesak bagi memastikan setiap sen wang rakyat dibelanjakan secara cekap dan bertanggungjawab,” katanya.
Lam Thye berkata, langkah berkenaan akan meningkatkan keyakinan rakyat bahawa kerajaan benar-benar komited terhadap disiplin kewangan dan sanggup memimpin melalui teladan dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.
“Pengurusan sumber negara secara berhemah hari ini akan membantu memastikan negara kekal berdaya tahan dan lebih bersedia menghadapi ketidaktentuan,” katanya.
Pada Rabu, Perdana Menteri memaklumkan, kerajaan memutuskan supaya semua agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat berkaitan pelaburan kerajaan (GLIC) tidak akan menganjurkan sebarang perayaan Rumah Terbuka Aidilfitri tahun ini.
Beliau menengaskan, langklah itu dilaksana bagi memberikan satu mesej supaya perbelanjaan lebih cermat dan sederhana dilaksana ketika ketegangan di Asia Barat masih belum menunjukkan tanda untuk reda.
Selain itu, Anwar menegaskan, lawatan atau kunjungan ke luar negara oleh menteri dan seluruh anggota pentadbiran kerajaan serta jabatan juga akan dihadkan buat masa ini.



