
KUANTAN – Yayasan Petronas dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang meneruskan tradisi menyemarakkan kemeriahan menjelang lebaran melalui Program Memacu Kehidupan: Hari Raya Aidilfitri 2026, di sini hari ini.
Menerusi program itu sebanyak 400 bakul makanan diagihkan kepada keluarga kurang berkemampuan di Pahang.
Sumbangan disampaikan Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli kepada Pengarah JKM Pahang, Khairul Amri Ahmad.
Untuk tahun ini, sumbangan disalurkan kepada penerima di 11 daerah di Pahang, iaitu Bentong, Bera, Cameron Highlands, Jerantut, Kuantan, Lipis, Maran, Pekan, Raub, Rompin dan Temerloh bagi memastikan bantuan dapat disasarkan secara menyeluruh kepada golongan memerlukan.
Setiap keluarga terpilih menerima sumbangan pek perayaan yang mengandungi barangan makanan asas seperti minyak masak, beras, bihun, gula, tepung, garam, kari ayam dalam tin, teh dan minuman coklat malta.
Selain itu, mereka juga turut menerima barangan bertemakan perayaan seperti kacang tanah, biskut raya, beras pulut, santan kotak, pes rendang dan pes kuah kacang.
Mohammad Ahmad Shazly berkata, program itu mencerminkan komitmen berterusan Yayasan Petronas membantu meringankan beban golongan memerlukan, khususnya dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
“Kami berharap sumbangan ini dapat membawa kegembiraan serta sedikit kelegaan kepada para penerima dan keluarga,” katanya.
Terdahulu, beliau bersama Khairul Amri dan penerima sumbangan diraikan dalam majlis berbuka puasa sempena program berkenaan di sini, petang semalam.
Ahmad Shazly berkata, inisiatif yang sama turut dilaksanakan di negeri Pantai Timur lain, iaitu Terengganu dan Kelantan.
“Secara keseluruhan, Program Memacu Kehidupan: Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini bakal memanfaatkan seramai 1,250 keluarga di Pantai Timur, membolehkan mereka merasai kemeriahan Aidilfitri bersama keluarga dan rakan-rakan tersayang,” katanya.




