
KABONG – Sebanyak 1,400 bungkus bubur lambuk dan bubur kapur diagihkan kepada penduduk dalam satu program kebajikan sempena Ramadan yang berlangsung di Kabong Town Square pada petang Ahad.
Program berkenaan menghimpunkan belia, pertubuhan masyarakat dan penduduk setempat yang bergotong-royong menyediakan juadah berbuka puasa sebelum diedarkan kepada orang ramai.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Datuk Mohd Chee Kadir berkata, penganjuran program tersebut mencerminkan semangat kebersamaan masyarakat dalam mengimarahkan bulan Ramadan.
Menurut beliau, aktiviti seperti itu bukan sahaja memberi peluang kepada orang ramai menikmati juadah berbuka puasa, malah mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti.
“Program sebegini amat bermakna kerana selain berkongsi rezeki dengan masyarakat, ia juga mengukuhkan semangat perpaduan dan kerjasama dalam kalangan penduduk Kabong,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis simbolik penyerahan masakan berasaskan bubur sempena Ramadan 1447 Hijrah di Kabong Town Square.

Tambah Chee Kadir, penglibatan pelbagai pihak dalam menjayakan program tersebut turut membuktikan semangat kesukarelawanan yang masih kuat dalam kalangan masyarakat setempat.
“Semangat gotong-royong yang ditunjukkan hari ini jelas menggambarkan betapa masyarakat Kabong sentiasa bersatu hati dalam menjayakan aktiviti kebajikan yang memberi manfaat kepada semua,” ujarnya lagi.
Program tersebut merupakan hasil kerjasama tiga pertubuhan iaitu Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Kabong, Kumpulan Belia Nelayan (KUBENA) Kabong serta Urusetia Saudara Kita (USK) Kabong.
Beliau turut berharap agar inisiatif seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang bagi menyemarakkan lagi penghayatan Ramadan di samping memperkukuhkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat.
Turut hadir Penghulu Sani Mohd, Penghulu Rahman @ Dom Kapok, Kaunselor Ulin Tabur, Kaunselor Johan Rahman, Pengurus PNK Kabong Sahariya Tahot, Ketua Pergerakan Wanita PBB Kabong Nurain Abdullah serta tetamu kehormat lain.
Foto: Pusat Khidmat ADUN N.40 Kabong



