Taktik ‘halia merah’, warga emas putih mata rugi RM15,000 ditipu bomoh

MIRI – Niat seorang warga emas untuk membeli sayur bertukar detik malang apabila dia kerugian kira-kira RM15,000 akibat diperdaya tiga wanita warga asing yang menyamar sebagai ‘bomoh jalanan’ di Pasar Besar Krokop pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8 pagi ketika mangsa yang berusia lingkungan 60-an sedang berjalan di pasar berkenaan.

Menurutnya, mangsa pada awalnya didatangi seorang wanita warga asing yang bertanyakan lokasi untuk membeli halia merah, kononnya bagi merawat suaminya yang sakit.

“Tidak lama kemudian, muncul dua lagi wanita menghampiri mangsa sebelum mereka memujuk warga emas itu untuk berbual di dalam sebuah kereta yang diparkir di belakang pasar dengan alasan cuaca panas.

“Semasa berada di dalam kenderaan terbabit, salah seorang suspek mendakwa ‘feng shui’ rumah mangsa tidak baik dan terdapat unsur kuasa jahat yang boleh membawa malapetaka kepada dia serta keluarganya,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Mohd Farhan berkata, suspek kemudian meyakinkan mangsa bahawa satu ritual perubatan perlu dilakukan segera bagi membuang sial, dan meminta warga emas itu menyediakan segenggam beras, barang kemas serta wang tunai.

Akibat panik dan terpedaya dengan tipu helah tersebut, mangsa pulang ke rumah untuk mengambil emas serta wang tunai dianggarkan bernilai RM15,000 sebelum diserahkan kepada ketiga-tiga wanita berkenaan.

Tambah beliau, suspek memasukkan kesemua barangan berharga itu ke dalam sebuah beg lalu mendakwa ia telah dijampi dan memberi amaran agar mangsa tidak membukanya selama tiga hari.

“Bagaimanapun, penipuan itu terbongkar apabila mangsa membuka beg berkenaan pada Jumaat (6 Mac) dan terkejut mendapati ia hanya berisi serbuk garam, dua botol air mineral kecil serta satu peket tisu,” jelasnya.

Susulan kejadian tersebut, beliau berkata, kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang membawa hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, berserta sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, Mohd Farhan menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan individu tidak dikenali yang mendakwa mempunyai kuasa ghaib atau menawarkan perkhidmatan ritual untuk mengubah nasib.

“Orang awam dinasihatkan supaya jangan sesekali menyerahkan wang atau barang berharga kepada orang yang tidak dikenali. Segera tampil membuat laporan di balai polis berhampiran sekiranya menjadi mangsa sindiket sebegini,” tegasnya.

Related Posts

Menteri Pengangkutan Sarawak santuni penduduk agih hadiah Hari Bapa

MIRI – Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin menyantuni penduduk setempat di Riam Mosjaya di sini bagi meraikan sambutan Hari Bapa, semalam. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Inspire i-Talent cungkil bakat 38 atlet sukan OKU di Mukah

MUKAH – Seramai 38 peserta dalam kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) sekitar daerah ini diuji menerusi Program Inspire i-Talent Peringkat Bahagian Mukah 2026 bagi mencungkil bakat baharu atlet pelapis para…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Awang cuba ‘sekolahkan’ Mohd Sany, akhirnya isu bertumbuk makan diri

Awang cuba ‘sekolahkan’ Mohd Sany, akhirnya isu bertumbuk makan diri

Menteri Pengangkutan Sarawak santuni penduduk agih hadiah Hari Bapa

Menteri Pengangkutan Sarawak santuni penduduk agih hadiah Hari Bapa

Malaysia diiktiraf miliki rekod baik urus pelarian sejak dahulu – Pakar undang-undang

Malaysia diiktiraf miliki rekod baik urus pelarian sejak dahulu – Pakar undang-undang

Inspire i-Talent cungkil bakat 38 atlet sukan OKU di Mukah

Inspire i-Talent cungkil bakat 38 atlet sukan OKU di Mukah

Zumba Aerodance perkukuh semangat kebersamaan dan kebajikan

Zumba Aerodance perkukuh semangat kebersamaan dan kebajikan

Wanita ditangkap jual beras seludup

Wanita ditangkap jual beras seludup