Program Jalinan Kasih Ramadan santuni 44 penerima

GEDONG – Kehadiran Ramadan terus membawa sinar keceriaan buat 44 penerima dalam kalangan keluarga kurang berkemampuan, warga emas, ibu tunggal dan mualaf di Zon Pangkor dekat sini, apabila mereka diraikan menerusi Program Jalinan Kasih Ramadan 2026.

Program anjuran Parlimen Batang Sadong itu berlangsung di Masjid Hayatul Islam, Kampung Lubok Punggor pada Khamis, dalam suasana harmoni penuh semangat kebersamaan komuniti.

Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada siri jelajah Ramadan bagi memperkukuh ukhuwah antara pemimpin dan masyarakat akar umbi.

“Sepanjang Ramadan ini, saya akan turun padang ke beberapa buah kampung di Parlimen Batang Sadong untuk bertemu dan menyelami sendiri denyut nadi rakyat.

“Bulan mulia ini adalah ruang terbaik untuk kita memperbanyakkan amal kebajikan dan menyantuni golongan yang memerlukan,” katanya ketika berucap merasmikan majlis tersebut.

Menerusi program itu, penyerahan sumbangan berbentuk bakul makanan dan bantuan tunai diharap sedikit sebanyak dapat meringankan beban kewangan, sekali gus memberi kelegaan buat penerima membuat persiapan Aidilfitri.

Lebih meriah, program tersebut turut diserikan dengan majlis berbuka puasa (sungkai) bersama penduduk setempat, edaran bubur lambuk serta penyerahan apron khas kepada kaum ibu yang bergotong-royong menyediakan juadah di masjid.

Kumpulan peniaga kecil di pekarangan masjid juga tidak dipinggirkan apabila turut menerima sumbangan apron sebagai tanda sokongan moral terhadap usaha mereka mencari rezeki di bulan puasa.

Sementara itu, menyentuh mengenai kemudahan infrastruktur setempat, Rodiyah membawa khabar gembira berhubung beberapa projek pembangunan yang sedang giat dilaksanakan di Kampung Lubok Punggor.

Jelas beliau, kerja menaik taraf parit konkrit sepanjang 350 meter dengan peruntukan RM320,000 kini sedang berjalan bagi melancarkan sistem saliran dan mengurangkan risiko banjir kilat.

“Bagi meningkatkan aspek keselamatan dan keselesaan pengunjung, kita juga telah merancang pembinaan pembetung (culvert) di kawasan Anjung Selera Kampung Lubok Punggor.

“Malah, projek Rumah Usahawan Wanita Kampung Lubok Punggor Hulu yang kini hampir siap, diyakini bakal membuka peluang keemasan buat golongan wanita mengusahakan perniagaan dan menjana pendapatan tambahan,” ujarnya.

Beliau menaruh harapan agar segala kemudahan yang disediakan itu dioptimumkan sepenuhnya oleh rakyat demi kesejahteraan bersama.

Turut hadir wakil-wakil masyarakat, ketua kampung, ahli jawatankuasa masjid serta penduduk sekitar.

Related Posts

Kelulusan Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Samalaju perkukuh ekonomi Sarawak – Awang Tengah

KUCHING – Persetujuan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan meluluskan Fasa 1 Pelabuhan Perindustrian Samalaju sebagai Zon Perdagangan Bebas menandakan satu pencapaian strategik yang signifikan bagi Sarawak.   Timbalan Premier Sarawak, Datuk…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Sarawak kekal hubungan harmoni dengan Persekutuan, terus tegas tuntut hak MA63

KUCHING – Mengambil pendekatan serampang dua mata, kerajaan Sarawak kekal komited memelihara hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan, namun berpendirian teguh dalam memastikan hak pembangunan serta keistimewaan negeri di bawah Perjanjian…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kelulusan Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Samalaju perkukuh ekonomi Sarawak – Awang Tengah

Kelulusan Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Samalaju perkukuh ekonomi Sarawak – Awang Tengah

Harga bahan api naik minggu ini, RON95 tanpa subsidi cecah RM4.07

Harga bahan api naik minggu ini, RON95 tanpa subsidi cecah RM4.07

Sarawak kekal hubungan harmoni dengan Persekutuan, terus tegas tuntut hak MA63

Sarawak kekal hubungan harmoni dengan Persekutuan, terus tegas tuntut hak MA63

Pisau ‘rambo’ 6 inci tikam leher ibu tunggal ditemui dekat sawah

Pisau ‘rambo’ 6 inci tikam leher ibu tunggal ditemui dekat sawah

Kerajaan Sabah terus fokus pembangunan Tongod menerusi SMJ – Hajiji

Kerajaan Sabah terus fokus pembangunan Tongod menerusi SMJ – Hajiji

Jadikan Indonesia rujukan perkasa sistem pendidikan kebangsaan melalui bahasa rasmi negara

Jadikan Indonesia rujukan perkasa sistem pendidikan kebangsaan melalui bahasa rasmi negara